Thursday, April 8, 2010

Scha Alyahya: Maaf, tak sengaja


Scha mengaku tersalah cakap kerana terlalu gementar

BUKAN berniat memanjangkan ‘gimik tak disengajakan’ yang dicipta Scha Alyahya kerana Melbourne yang disebutnya sebagai di Amerika Syarikat kerana sepatutnya di Australia. Kerana dek darah gemuruh yang sukar dikawal, Scha tersasul menyebut perihal itu hingga menjadi usikan ramai.

Inilah yang berlaku kepada pelakon muda ini ketika mengalu-alukan kedatangan Ummi Nazeera yang pulang ke Malaysia untuk berganding dengannya bersama-sama Awal Ashaari sebagai penyampai trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 di Arena Of Stars, Genting Highlands, Ahad lalu.

Secara logik, Scha yang pernah bertugas di awan biru sebagai pramugari pasti selalu mengembara dan sedia maklum dengan peta di negara luar. Kebetulan juga di Amerika Syarikat memang ada tempat bernama Melbourne iaitu di Florida dan perkara itu diberitahu sendiri Scha.

Sedangkan, Scha sendiri mengetahui bahawa Ummi belajar di Melbourne, Australia. Sebagai manusia, kita maafkan saja keterlanjuran Scha dan tidak terdetik langsung di hatinya untuk mencipta kontroversi murahan ini. Yang lalu itu biarkan terus berlalu dan Scha enggan lagi mengenangnya itu.

“Raja Azura ada berpesan kepada Scha untuk membiarkan orang terus mempersendakan perkara ini. Perlukah ia dipanjangkan lagi? Scha tak perlu buktikan apa-apa dan Scha akui semua terjadi atas kesilapan diri sendiri.

“Rakan artis lain yang lebih lama juga turut berpesan yang Scha tak perlu nak menjelaskan apa-apa sekiranya kita tahu apa yang terjadi sebenarnya. Apabila adanya tindakan, pasti adanya reaksi. Berdiam diri mungkin lebih baik daripada terus memberikan komen.
“Scha bukan sebodoh itu. Tapi ada kalanya situasi tertentu boleh membuatkan kita gugup dan bertindak di luar jangkaan. Scha tak mahu kenang lagi dan biarlah ia terhenti dengan sendirinya. Manusia boleh terus berkata-kata sedangkan Scha tak mampu menutup mulut mereka,” katanya yang dihubungi Hip baru-baru ini.

Mengenai kerjaya lakonan, Scha memberitahu projek pembikinan filem Awan Dania yang pernah dipukul canang sejak tahun lalu bakal menjadi kenyataan tak lama lagi. Dia juga turut diminta oleh Tayangan Unggul untuk melapangkan masa bagi menjalani penggambaran filem terbabit Mei ini.

“Ketika ini, Scha kurang pasti sama ada Azizi ‘Chunk’ Adnan akan mengarah atau tidak. Ia masih menjadi tanda tanya. Pada pengamatan Scha, dia yang layak untuk meneruskan kesinambungan versi filem itu. Tapi jika tidak, Scha tak boleh berbuat apa-apa dan hanya meneruskan peranan sebagai pelakon saja.

“Apa-apa pun tahun ini akan menjadi tahun Scha mencari rezeki. Tawaran untuk mengacara lagi selepas Sehati Berdansa musim keempat dan Sehati Sejiwa ada diterima Scha termasuk dari Michael Ang sendiri.

“Tapi Scha tak boleh memberi pengesahan lagi setakat ini. Scha tak dapat jangka apa yang bakal terjadi pada masa mendatang,” katanya.

Ditanya mengenai sisi peribadinya, teman baik kepada Awal Ashaari ini melihat anjakan hidupnya semakin hari semakin memberi ketenangan. Malah pengalaman lalu, terus mematangkan dirinya. Dengan apa yang terjadi dalam kanvas seninya hujung tahun lalu, dia juga mula berhati-hati dalam banyak aspek.

“Scha lebih kuat untuk terus bekerja. Scha tahu bukan senang untuk sampai ke tahap ini dan setiap hari menjadi contoh pengalaman terbaik. Scha kena terus menjaga perangai dan membawa diri. Tirai kehidupan kita semuanya berpaksikan kepada implikasi tertentu.

“Setiap tindakan kita pasti mengundang reaksi orang. Scha juga mula berhati-hati memilih kawan dan tempat. Scha juga hanya akan bersuara bila perlu. Scha tak pernah menyesali apa yang terjadi kerana ia mengajar kita mengenali dunia.

“Scha juga tidak mahu terlalu terbuka dalam soal peribadi kerana ada kalanya niat kita untuk berkongsi disalah erti. Bila kita telus dan enggan dilabel sebagai ‘propa’, ada pula ambil kesempatan. Kini, Scha berasakan ada perkara tertentu yang perlu disimpan saja daripada dikongsi,” katanya yang sering mendapat dorongan ibu tercinta yang sangat menyokong.

Taken from : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Maaf_taksengaja/Article

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails