Saturday, May 29, 2010

Elyana: Ia Akan Berlaku




'Dunia Baru Reunion' merupakan penampilan
drama pertama Elyana setelah sekian lama mendiamkan diri.

Kongsinya, bukan tiada tawaran yang diterima tetapi semuanya ditolak kerana dia tidak yakin dengan penampilannya. Seperti ramai yang sedia maklum,
penyanyi "Kalis Rindu" ini kini tampil lebih berisi.

Buat mereka yang menyangka kenaikan berat badan Elyana disebabkan dia ditinggalkan tunangnya,
Khairul Anuar -
kononnya sebab itulah majlis perkahwinan mereka
tidak jadi diadakan pada Julai depan - kata Elyana, "It's still on."

"Ia akan berlaku, insyaAllah, dalam tahun ini juga.
Bila kami bertunang pada Julai lalu,
persetujuan kami adalah untuk bertunang selama setahun.

"Penangguhan ini disebabkan beberapa faktor,
seperti dewan yang kita nak takde, masa pun tak sempat kerana jadual kerja kami yang sibuk."

Tentang punca kenaikan berat badannya, jelas Elyana, kemungkinan ia berlaku sewaktu penggambaran 'Katrina Kamelia'.

"Selama empat bulan, hari-hari saya makan.
Berat pun naik dari 55kg ke 62kg. Tapi saya dah mula kawal makan.
Saya tak pergi gim, cuma elak dari makan waktu malam. Saya memang gila makan malam.
Sekarang berat dah turun 3kg."

"Rasanya macam didera"
Penurunan berat badannya memudahkan Elyana memberi persetujuan untuk turut sama di dalam 'Dunia Baru Reunion'.

"Selama ini, ramai yang minta agar 'Dunia Baru' disambung.
Jadi, bila ditawarkan, saya terus kata 'Ya'. Ia sebagai satu hadiah buat peminat yang sudah lama menunggu. Selain itu, saya juga rindu dengan kawan-kawan semua.
Susah nak cari peluang untuk berkumpul bersama."

Bercerita tentang wataknya, Opie, kongsi Elyana, dia sudah bersaiz XXXL
dan sebab itu, tidak yakin dalam setiap perkara yang dilakukannya.
Kerana keadaan fizikalnya, dia juga sering dibuli.

Untuk mendapatkan tubuh yang lebih tembam, Elyana terpaksa memakai sut yang diperbuat dari span.

"Rasanya macam didera," kongsinya kepada GUA tentang pengalamannya memakai sut span. "Susah nak berjalan sebab ia ketat dan di dalamnya, memang panas sampai berwap. Satu cabaran hendak berlakon di dalam sut itu."

"Senang kerja dengan Aidit"
Selesai sudah dengan penggambaran 'Dunia Baru Reunion',
Elyana akan menumpukan perhatiannya pada album baru. Lagu-lagunya sudah ada, cuma menunggu masa untuk masuk studio dan rakam.

Seperti biasa, Elyana akan bekerjasama dengan pengubah lagu popular, Aidit Alfian.

"Dia seorang yang pelik. Sukar untuk menjangka apa dia nak cakap.
Saya mula bekerjasama dengannya sejak saya di Tingkatan 1 lagi.
Dia memahami apa yang saya nak dalam muzik saya," terang
Elyana tatkala ditanya mengapa Aidit sering menjadi pilihannya bila menghasilkan album.

"Orang lain mungkin kata mereka faham tapi bila buat, hasilnya lain dari apa saya nak.
Senang kerja dengan dia. Dia pandai bagi 'mood'.
Tetapi untuk album ini, bukan semua lagu karya Aidit.
Enam darinya adalah daripada komposer lain seperti Ajai."

Masih mempertaruhkan konsep pop rock,
album tersebut bakal memperlihatkan kelainan dari segi kematangan muzik dan lirik,
seiring dengan peningkatan usia Elyana yang bakal memasuki 23 tahun pada 5 Julai ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails