AIDIT Alfian individu yang berjaya menyerlahkan potensi Ana Raffali.
Ana Raffali selesa dengan imej sopan
LAGU Hujan Bunga Di Kuala Lumpur mula memperkenalkan gadis bernama Ana Raffali, 24 dalam dunia muzik arus perdana. Mengukuhkan lagi hasil seninya yang baru bermula, single kedua, Tolong Ingatkan Aku menyusul dan sedang pantas memikat halwa telinga penggemar seni di ruang udara dan siber. Ana Raffali atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali terus mengisi ruang seni di negara kita. Dia bertuah kerana sejak awal 2008, dia dilamar menjadi penyanyi pertama berada di naungan Aidit Alfian Records. Rezekinya berpanjangan apabila muncul dengan album sulung, Ketika Aku Kecil di pasaran sejak April lalu.
Buah tangan terbarunya itu bukti kepada kesungguhan dan kecintaannya terhadap muzik. Lebih membanggakan enam lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah hasil karya Ana sendiri.
Dia juga mengikuti aliran sesetengah penyanyi yang menggunakan Youtube dan laman sosial lain untuk berkongsi karya ciptaannya. Sebelum ini, Yuna, Hujan dan Bunkface antara yang menjadikan laman maya sebagai titik tolak mengembangkan hasil kerja seni mereka.
“Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas yang positif dengan kemunculan album ini, terutama menerusi laman peminat dalam Facebook saya. Cuma ada juga yang melahirkan rasa tidak puas kerana hanya enam lagu saja dimuatkan.
“Ini hanya permulaan dan saya mengharapkan yang terbaik,” katanya mengenai album berkonsep akustik, pop dan alternatif itu.
Ketika ini, Ana yang masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) sejak Oktober tahun lalu terus diingati dengan imej uniknya, berbaju kurung atau kebaya ketika membuat persembahan.
Identiti yang ditampilkan menarik.
Dalam ada yang suka, lumrah kalau ada yang sebaliknya. Imej Ana turut mengundang persoalan kerana ada yang menyangka gaya tradisionalnya itu digayakan sepanjang masa. Hakikatnya, dia mengaku memang tidak memakai baju kurung setiap hari.
Bagaimanapun, katanya, apa yang penting imej yang ditampilkan bukan sesuatu yang dibuat-buat.
Menurutnya, dia sudah terbiasa memakai busana yang dianggap sebagai pakaian formal itu ketika membuat persembahan di universiti. Secara tak langsung, dia juga mula selesa dan terdetik untuk terus menjadikan pakaian itu sebagai inspirasi memperkenalkan dirinya ke persada seni.
“Saya memakai baju mengikut keselesaan. Begitu juga dengan gaya saya berbaju kurung atau kebaya ketika membuat persembahan. Cuma ada yang menyalah erti apabila saya berpakaian selain dua pakaian itu. Sedangkan baju kurung atau kebaya boleh dianggap sebagai ‘pakaian rasmi’ saya untuk membuat persembahan.
“Kadang-kadang terdetik mahu memakai baju kurung ketika menonton wayang, saya akan ‘belasah’ pakai baju terbabit., apa salahnya!
“Tapi dalam apa yang dilakukan, saya menghormati setiap konsep baju yang dipakai. Baju kurung atau kebaya sendiri dianggap sebagai khazanah orang Melayu. Jadi saya rasa tidak salah untuk saya terus memartabatkan busana ini di peringkat komersial,” tegasnya.
Selain menyanyi dan mencipta lagu, Ana juga sedar banyak lagi cabang seni yang boleh diterokainya. Namun, seboleh-bolehnya, penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu tidak mahu tamak dan membuat banyak perkara dalam satu masa.
Katanya, dia mahu memberi tumpuan kepada dunia muzik.
“Saya mahu memberi tumpuan kepada aliran muzik ini. Mungkin selepas ini, akan ada lebih banyak lagi lagu yang saya hasilkan. Saya juga mengharapkan genre muzik dan kehadiran saya akan dihargai.
“Pada masa mendatang, saya mahu menceburi diri dalam penulisan skrip atau teater. Saya minat berlakon kerana di universiti saya pernah menyertai kelab drama dan teater,” katanya yang akan terbabit dengan sebuah bengkel ilmiah mulai 19 Jun ini hingga Ogos.
Belum bersedia hasilkan lagu untuk orang lain
DALAM perkembangan lain, Ana juga sedang merancang untuk menghasilkan lagu duet dengan penyanyi lain. Bagaimanapun setakat ini, tiada banyak yang boleh didedahkan.
Katanya, ketika ini dia juga belum bersedia untuk mengizinkan lagunya dinyanyikan oleh penyanyi lain.
“Ada pihak yang berminat untuk mengambil lagu saya. Tapi saya belum bersedia lagi untuk memberikannya. Biarlah saya yang meyakinkan diri untuk membuktikan potensi lagu terlebih dulu,” katanya yang sudah menghasilkan klip video lagu Hujang Bunga Di Kuala Lumpur.
Klip video terbabit dihasilkan dengan kos kurang RM5,000 dan siap sejak Mac tahun lalu. Ia masih belum dimainkan di TV, sebaliknya boleh ditonton di laman Youtube. Menariknya Ana turut menyunting klip video itu. Penghasilan klip video itu juga menyaksikan ramai kawan-kawannya yang terbabit membantu menyumbang kreativiti fotografi termasuk pelakon.
Sementara itu, Aidit Alfian berkata, penantiannya selama ini untuk mencari artis sulung di bawah naungan syarikatnya berakhir. Selepas dicadangkan teman akrabnya, dia memang ada keyakinan terhadap Ana sebagai penyanyi.
“Saya sebagai komposer sentiasa cuba mencari idea segar dalam penulisan lagu.
Saya tengok Ana sendiri mempunyai kebolehan untuk bergelar penyanyi dan masa yang sama menghasilkan idea baru dalam komposisi lagu. Saya tak banyak mengajarnya sebaliknya memberi kebebasan kepadanya untuk berkarya.
“Saya hanya memberinya nasihat dan cadangan supaya apa yang dihasilkan masih terkawal. Ini kerana dia masih boleh dianggap mentah lagi. Cuma apa yang saya boleh katakan hasil penulisan liriknya sangat jujur. Dia juga bijak menghasilkan lagu yang ada potensi untuk dikomersialkan,” kata Aidit.
Profil
Nama asal: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali
Tarikh lahir: 4 November 1985
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Profesion: Penyanyi dan penggubah lagu
Genre muzik yang digemari: Rock, alternatif, pop dan klasikal
Idola: M Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza
Laman web: www.anaraffali.com
Emel: saya@anaraffali.com
0 comments:
Post a Comment