Friday, June 18, 2010
Diana Rafar Mengandung Lima Bulan
Pelakon yang popular dengan drama bersiri 'Nenek Kebaya', Diana Rafar kini disahkan hamil lima bulan. Berita ini diumumkan sendiri oleh Diana ketika sesi ramah mesra drama bersiri ‘Ilusi’ di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.
“Sebelum itu saya nak minta maaf banyak-banyak sebab tak beritahu tentang perkara ini dari dulu. Bukan tak nak beritahu, cuma Diana memang lambat dapat tahu yang Diana mengandung.
“Mula-mula tu ada juga nak beritahu wartawan, tapi tak tahu bila nak beritahu. Bila dah ada rezeki masa sidang media hari ini, jadi Diana beritahu. Diana sekarang memang mengandung lima bulan. Diana dapat tahu pun ketika usia kandungan mencecah dua bulan lebih,” jelas Diana yang kelihatan begitu teruja ketika membicarakan tentang berita kehamilannya.
Diana mendirikan rumahtangga dengan aktor Zamarul Hisham pada 16 Mei 2009 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Menurut Diana, pada mulanya dia tidak mengetahui dirinya sedang mengandung sehinggalah dia merasakan ada perubahan pada dirinya.
“Diana memang tak sedar Diana mengandung sebab tak ada alahan apa-apa. Diana cuma rasa badan naik mendadak sikit. Dulu berat Diana 46kg tapi sekarang dah 55kg,” ujar Diana yang memberitahu berita gembira ini diketahuinya ketika menjalani penggambaran drama ‘Ilusi’.
Tambah Diana lagi, dia bersyukur kerana tidak muntah atau mengidam apa-apa seperti kebiasaan ibu mengandung yang lain.
“Muntah-muntah atau mengidam tu tak ada lah, cuma badan letih sikit dan sesekali badan rasa kejang. Tapi lama-lama kemudian baru Diana ada alahan, naik ruam di muka. Mula-mula tu teruk jugalah tapi sekarang dah okay.”
Tergamam dan takut
Bakal menimang cahaya mata pertama, Diana turut berkongsi perasaanya ketika dia mengetahui dirinya mengandung.
“Kali pertama dapat tahu, memang tak tahu nak reaksi macam mana. Diana tergamam dan takut. Masa dapat tahu Diana mengandung, Diana termenung lama, betul ke? Perasaan gembira tu datang lambat.”
Pada sesi ramah tersebut, Diana turut memberitahu dia telah mengambil langkah penjagaan untuk kandungannya itu dengan mengamalkan makanan berzat, minum susu dan mengamalkan ayat-ayat suci Al-Quran.
Bagi Zamarul, berita kehamilan isteri tercinta merupakan detik yang menggembirakan dan mengakui dirinya banyak berubah selepas mengetahui isterinya hamil.
“Syukur, alhamdulillah. Masa dapat tahu memang terkejut sangat. Sejak Diana mengandung ni, saya memang jadi 'syok' dan rajin nak buat kerja rumah, basuh pakaian dan kemas cadar semua. Dan kebelakangan ini juga saya memang kuat makan.”
Perubahan pada diri Zamarul diakui sendiri oleh Diana dan mengakui dirinya begitu bertuah kerana mendapat suami yang penyayang.
“Diana gembira tengok perubahan pada diri Zamarul. Dia menjadi seorang yang lebih ‘caring’ dan lebih menghargai. Agaknya begitulah reaksi seorang suami bila dapat tahu isteri dia mengandung.”
Teringin anak perempuan
Sebagai suami, Zamarul turut membuat persediaan dengan selalu mengingatkan Diana agar menjaga kesihatan diri. Mengenai jantina bayi yang akan dilahirkan, pasangan ini berharap kali ini dikurniakan anak perempuan pula.
“20 Jun ni Diana akan buat pemeriksaan dan periksa jantina anak sekali. Diana terima saja anak lelaki atau perempuan tapi harap-harap dapat perempuan lah,” ujar Diana yang mempunyai dua anak tiri hasil perkahwinan Zamarul sebelum ini.
“Saya dah mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Izzat Haiqal, 11, dan Iqmal Haiqal, 8, melalui perkahwinan terdahulu. Kalau boleh impian saya nak anak perempuan, tapi saya tak terlalu taksub, Allah bagi apa saja saya terima,” ujar Zamarul yang menyerahkan segala-galanya pada rezeki.
Menurut Diana lagi, dia bercadang untuk berehat dari dunia lakonan buat sementara waktu untuk menumpukan pada proses kelahiran bayi memandangkan ini merupakan anak pertama mereka.
“Selepas drama ‘Ilusi’, saya rancang untuk berehat seketika dari dunia lakonan namun saya mungkin akan menumpukan pada bisnes spa saya.”
Zamarul juga memberitahu dia tidak akan menghalang isterinya jika dia mahu berlakon lagi selepas ini.
“Saya tak halang jika lepas bersalin ni dia nak berhenti atau terus berlakon. Bagi saya, ikut gerak hati dia sendiri.”
Labels:
Gossip Artis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment