Tuesday, June 22, 2010

Liza Hanim Kini Bertudung

Images Not Found



Setelah lama tidak mendengar khabar berita daripada penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim, tiba-tiba dia muncul dengan penampilan baru dalam program realiti Mentor malam kelmarin. Liza Hanim yang diundang sebagai seorang juri professional dilihat bertudung litup dengan bentuk badan berisi. Perubahan ini pasti membuatkan ramai peminat Liza di luar sana ingin tahu kisah di sebalik perubahan ini.

Menurut Liza sudah dua bulan dia mengenakan tudung. Tidak ada sebab tertentu yang membuatkan dia mengambil keputusan untuk berubah imej. Sebaliknya, ia berlaku tanpa dirancang.

“Saya mula memakai tudung April lalu. Tidak ada sebab tertentu yang membuatkan saya berubah imej ini. Kalau ikutkan memang dah lama ada niat, cuma saya tidak benar-benar yakin hendak lakukan. Bulan April lalu, tiba-tiba keinginan itu sangat kuat. Bangun tidur suatu pagi tu, saya terus teringat hendak pakai tudung.

Saya pun bincang dengan suami dan dia menyokong niat saya. Tapi dia sempat pesan supaya tidak buat separuh jalan. Dengan emak dan ayah saya pun saya tidak maklumkan. Mereka hanya tahu selepas kami berjumpa. Mereka pun tidak ada masalah dengan perubahan ini. Semua ahli keluarga menyokong saya,” cerita Liza.

Menyentuh soal kerjaya nyanyiannya selepas ini, Liza memberitahu dia akan terus menyanyi walaupun sudah bertudung. Tambahnya, menyanyi adalah minatnya dan dia tidak mungkin meninggalkan nyanyian begitu sahaja.

‘Sudah bertudung tidak bermakna saya akan meninggalkan dunia nyanyian. Saya masih ingin berada di dalam industri, cuma buat masa ini saya belum bersedia untuk buat kemunculan semula. Saya sedang mencari imej yang bersesuaian. Kalau sudah bertudung, pasti saya tidak boleh bergerak di pentas macam dahulu lagi. Banyak yang perlu saya fikirkan. Bagaimanapun, minat saya masih pada pop. Saya tidak boleh lari dari pop.

Paling penting, saya mahu turunkan berat badan dahulu. Perkara ini memang bukan senang untuk saya lakukan. Ikut pengalaman bersalin anak pertama dahulu, saya ambil masa setahun setengah untuk kembali ke bentuk badan asal. Anak kedua ini tidak tahu pula macamana. Kalau semuanya berjalan seperti yang dirancang, saya akan muncul dengan single terbaru pada bulan puasa nanti. Sekarang tengah mencari right song for the right image,” ujar Liza yang melahirkan anak perempuan keduanya pada tahun lalu.

Bercerita tentang ‘kehilangannya’ pula, menurut penyanyi yang memegang watak Saloma dalam Teater Muzikal P.Ramlee ini, dia sebenarnya sibuk menguruskan syarikat miliknya, LH Media Sdn Bhd yang diusahakan bersama suami.

“Selepas bersalin, niat saya mula-mula adalah untuk menguruskan badan. Jadi, untuk tujuan itu, saya cuba sibukkan diri dengan bisnes. Apabila sudah sibuk dengan bisnes, banyaklah benda yang perlu saya uruskan. Ditambah pula dengan anak-anak yang semakin membesar. Banyak keperluan mereka yang perlu saya uruskan. Kebetulan Marsya masuk darjah satu tahun ini. Tahu-tahu sajalah, kalau urusan bisnes dan rumahtangga bercampur, memang sibuklah jadinya. Sebab itulah susah hendak jumpa saya di mana-mana. Kiranya, Mentor ini adalah kemunculan pertama saya selepas bersalin,” cerita Liza.


Sebagai salah seorang juri professional yang diundang ke Mentor malam kelmarin, Liza secara berterus-terang mengatakan Adi merupakan peserta yang paling lemah apabila diminta memilih salah seorang protege yang tidak menyerlah. Bukan itu sahaja, Liza turut menamakan Mohd sebagai protege yang paling bagus.

Mengulas tentang tindakannya itu, Liza memberitahu dia berbuat begitu bukan kerana hendak jatuhkan sesiapa. Sebaliknya, ia dilakukan bertujuan untuk memberi peluang kepada Adi untuk membetulkan kesilapan.

“Saya bagi komen itu secara telus. Bukan hendak jatuhkan sesiapa. Semua mentor yang berada di atas pentas tadi adalah kawan-kawan saya. Jadi tidak mungkin saya berniat tidak baik. Sebenarnya semua protege bagus. Komen yang saya buat adalah berdasarkan persembahan mereka pada malam ini.

Mohd paling konsisten, sebab itu saya kata dia bagus. Macam Adi pula, dia ada melakukan beberapa kesilapan ketika persembahannya. Saya harap dengan komen yang saya berikan, dia tidak akan patah semangat, sebaliknya memperbetulkan kesilapannya itu. Untuk Mohd pula, jangan jadikan pujian itu untuk berasa selesa. Jika silap percaturan, mungkin minggu depan dia akan buat kesilapan. Bagi saya, semua protege masih ada peluang yang sama,” ujar Liza mengakhiri perbualan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails