Jika pengarah serta penerbit lain berlumba lumba menghasilkan filem komersil demi mengaut keuntungan, berbeza dengan pengarah muda Dean A. Burhanuddin yang berani mengangkat kisah kehidupan anak-anak yatim di dalam filem sulung arahannya, Crayon.
Mengakui tema yang dipilihnya itu agak tersisih daripada jalur komersil, namun anak muda yang pernah mencipta nama sebagai penulis skrip di Amerika Syarikat itu yakin Crayon punya daya tarikan tersendiri.
"Jika semua orang asyik fikir untuk hasilkan filem komersil, siapa yang akan buat filem sebegini? Saya bukan hasilkan filem untuk menjadi seorang jutawan.
"Sebaliknya melalui Crayon saya mahu berikan harapan kepada mereka yang pernah rasa kehilangan seseorang yang mereka sayang. Saya harap melalui filem ini masyarakat akan menjadi lebih prihatin kepada golongan anak-anak yatim yang kebanyakannya hidup tersisih.
"Jika ada bantuan yang diberikan pun kepada mereka, hanyalah setahun sekali iaitu pada musim perayaan," katanya ketika ditemui di majlis pratonton filem tersebut baru-baru ini.
Ditanya mengenai ilham untuk menulis skrip serta menghasilkan filem tersebut, dia yang turut bertindak sebagai Penerbit bersama Linda Ziegler dan Elise A Hamid menyatakan, kehilangan ayahanda tercinta, Burhanuddin Ahmad Tajudddin akibat sakit jantung memberikannya inspirasi menghasilkan Crayon.
"Ayah saya meninggal dunia ketika dia berusia 78 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Apabila saya kehilangan ayah tersayang, saya seperti kehilangan harapan untuk meneruskan hidup.
"Saya fikir buat apa saya hidup jika semata-mata untuk mencari duit atau kekayaan. Apatah lagi saya sendiri anak tunggal. Oleh sebab itu, saya menulis skrip Crayon untuk memberikan harapan kepada mereka yang pernah rasa kehilangan untuk terus bangkit dan meneruskan kehidupan.
"Selepas skrip Crayon siap, saya berjumpa Linda dan bertanya sama ada dia berminat untuk menerbitkan filem sebegitu. Saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan Allah dan akhirnya Crayon bakal menemui penonton di panggung tidak lama lagi," jelasnya.
Kekangan bajet dan masa
Bercerita mengenai cabaran untuk mengarahkan Crayon, dia menyatakan kekurangan pengetahuan mengenai industri seni hiburan Malaysia membuatkannya sedikit sukar untuk berkarya.
Namun sebagai pengarah, dia berusaha untuk memberikan yang terbaik agar penonton berpuas hati apabila menonton Crayon yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 11 November depan.
"Selain itu saya juga harus bekerja di dalam keadaan bajet yang kecil serta tempoh masa yang terhad. Jadi semua perkara harus dilakukan dengan betul dan tepat. Mujurlah dengan bajet di antara 500 hingga 700 ribu, Crayon berjaya disiapkan dalam masa 25 hari," jelasnya tenang.
Berkenaan barisan pelakon yang membintangi Crayon pula, dia yang pernah menulis skrip filem Amok dan The Lonely di Amerika Syarikat berterus terang memberitahu, semua pelakon yang terlibat perlu lulus sesi 'casting' sebelum diterima berlakon termasuklah Adibah Noor.
Katanya sesi 'casting' penting agar setiap pelakon yang terpilih serasi dengan setiap watak yang dijayakan.
"Sejak awal saya memang pilih Adibah Noor untuk watak Mak Engku kerana merasakan tiada pelakon lain yang lebih sesuai untuk membawakan watak tersebut. Semasa sesi 'casting', saya berikan skrip Crayon kepada Adibah dan dia sendiri teruja untuk berlakon di dalam filem ini.
"Apa yang boleh saya katakan, semua pelakon memberikan komitmen terbaik dalam filem Crayon termasuklah pelakon kanak-kanak," katanya mengenai filem yang menjadikan Singapura, Melaka dan Kuala Lumpur sebagai lokasi penggambaran.
Mengenai harapannya terhadap Crayon, anak muda berusia 33 tahun itu berharap agar sesiapa sahaja yang menonton filem tersebut akan menjadi lebih prihatin serta memikirkan tentang orang lain yang wujud di sekeliling mereka khususnya insan yang kurang bernasib baik.
"Crayon akan dihasilkan dalam bentuk trilogi. Jika di dalam filem pertama ini ianya mengisahkan mengenai kehidupan anak-anak yatim, dalam filem kedua saya mahu mengangkat mengenai kisah golongan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pekak dan bisu.
"Manakala dalam filem ketiga saya mahu menyingkap mengenai kehidupan orang-orang tua yang disingkirkan oleh keluarga sendiri," jelasnya mengenai perancangan seninya selepas ini.
0 comments:
Post a Comment