Sunday, September 12, 2010

Marsha: Itu Bukan Kereta Mewah Saya

"Buat masa ini apa yang boleh saya katakan, saya memang sedang menjalinkan hubungan yang istimewa dengan seseorang. Tetapi kalau boleh saya tidak mahu bercerita panjang mengenainya kerana kami masih dalam proses berkawan.

"Bukannya apa, saya tidak mahu apabila perkara ini selalu diperkatakan dan akhirnya tidak menjadi, tempiasnya akan terpalit kepada saya. Saya juga yang akan menanggung malu.

"Namun saya akui selesa berkawan dengannya dan sehingga kini sudah beberapa bulan perhubungan tersebut terjalin," ujar penyanyi serta pelakon jelita yang semakin meningkat popular, Marsha Milan Londoh atau lebih dikenali sebagai Marsha oleh masyarakat seni.

Marsha berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu teman lelakinya dan mereka kini dikatakan sedang hangat menjalinkan hubungan cinta. Lebih menarik lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai 'Mr. Z' itu merupakan seorang usahawan muda yang berjaya serta sahabat baik kepada teman lelaki Fasha Sandha, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai.

"Mereka memang bersahabat dan saya sendiri pun baru sahaja mengetahuinya apabila terserempak ketika keluar bersama. Saya anggap itu sebagai perkara biasa sahaja," katanya yang dilahirkan pada 6 November 1985 di Berrien Springs, Michigan.

Mengenai gosip yang mengatakan dia kini semakin mewah dengan kereta hebat berwarna jingga, dia segera menafikannya. Katanya kereta tersebut bukan kepunyaannya sebaliknya adalah hak milik teman lelakinya itu.

"Itu bukan kereta saya. Mungkin ada orang yang pernah nampak saya menaiki kereta tersebut lalu membuat andaian ianya kereta saya. Jujur saya katakan, semasa mengenalinya saya langsung tidak tahu mengenai latar belakangnya.

"Saya selesa berkawan dengannya sebab dia seorang yang kelakar dan kami mempunyai banyak persamaan. Kalau ada orang yang cakap saya berkawan kerana harta, itu semua tidak betul," jelasnya yang mula menjalinkan hubungan dengan lelaki tersebut ketika berjumpa di majlis pelancaran Celebriti Kopitiam milik komposer terkenal, Ajai beberapa bulan lalu.

Ditanya mengenai perancangan untuk berumahtangga, penyanyi yang terkenal dengan lagu Yang Terbaik itu mengakui belum mempunyai perancangan ke arah itu. Katanya tahap perhubungan yang terjalin masih terlalu baru dan dia enggan untuk memasang angan-angan yang terlalu tinggi.

"Perancangan berkahwin atau bertukar agama bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Buat masa ini biarlah kami berkawan dahulu dan apabila tiba masanya sudah pasti saya akan bercerita mengenainya.

"Buat masa ini keluarga kami masing-masing merestui hubungan yang terjalin. Saya pernah ke rumahnya dan dia juga pernah berkunjung ke rumah saya," jelasnya yang mula diberi perhatian apabila muncul sebagai finalis program realiti popular, Akademi Fantasia musim ketiga.

Sibuk sebagai pelakon

Bercerita mengenai kerjaya seninya, Marsha mengakui dia kini semakin dikenali sebagai pelakon berbanding penyanyi. Namun dia tidak sekali-kali akan meninggalkan dunia nyanyian kerana itu sudah menjadi minatnya sejak dahulu lagi.

"Buat masa ini saya mahu berjaya di dalam kerjaya seni termasuklah dalam bidang nyanyian dan lakonan. Mengenai album terbaru, saya belum punya perancangan untuk menghasilkan album baru.

"Sebaliknya bakal merakamkan single terbaru, Goodbye yang dihasilkan oleh komposer muda berbakat besar, Arizal Thani. Saya selesa bekerja dengannya kerana dia sangat kreatif dan punya masa depan yang cerah dalam industri seni.

"Mengenai dunia lakonan pula saya sekarang masih sibuk dengan penggambaran beberapa buah drama dan filem. Terbaru saya akan muncul dengan filem 4 Madu, Hantu Kum Kum dan Mimi Cari Cinta," katanya yang pernah membintangi filem Misi 1511, Saus Kacang, Senario episode 2: Beach Boys dan Magika sebelum ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails