Sunday, February 6, 2011
Krisis Di Mesir - Pemindahan Pelajar Ke Jeddah Di Jangka Selesai Ahad
Operasi memindah keluar rakyat Malaysia terutamanya pelajar dari Mesir untuk ditempatkan di pusat transit di Jeddah dijangka berakhir pada Ahad (hari ini).
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab berkata pihaknya sedang berusaha membawa keluar kira-kira 9,000 pelajar yang secara sukarela mahu kembali ke tanah air.
MKN dan Wisma Putra akan berusaha menyelesaikan pemindahan pelajar menjelang tengah hari esok, katanya kepada pemberita Malaysia di sini Sabtu.
Bagaimanapun, katanya kelewatan mungkin berlaku jika pemindahan itu mengalami masalah birokrasi, cuaca buruk dan kebenaran berlepas yang lewat diberikan oleh pihak berkuasa lapangan terbang di mana pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia beroperasi.
Mohamed Tajudeen berkata sekiranya pemindahan keluar pelajar-pelajar itu dalam tempoh empat hari sejak Khamis lepas berjaya dilakukan, ia merupakan satu kejayaan bagi sebuah negara seperti Malaysia dalam melindungi keselamatan rakyatnya biarpun di luar negara.
Beliau berkata kejayaan itu dijangka dapat dicapai dengan pesawat tambahan yang akan disediakan oleh AirAsia selain dua pesawat MAS dan tiga pesawat Hercules TUDM.
Ditanya mengapa kerajaan Malaysia tidak membawa pulang terus para pelajar dari Kaherah ke Malaysia, beliau berkata yang paling utama bagi kerajaan ialah untuk memastikan nyawa para pelajar Malaysia di sini selamat.
Oleh itu, katanya langkah awal ialah memindahkan mereka ke tempat selamat di Jeddah yang mempunyai penginapan milik Lembaga Tabung Haji.
Menurutnya proses membawa pulang 9,000 pelajar itu akan mengambil masa yang panjang dan MKN memutuskan memindahkan mereka ke Jeddah terlebih dahulu sebelum langkah seterusnya diambil.
Ditanya mengenai jumlah sebenar para pelajar yang akan dibawa pulang, beliau berkata jumlah 9,000 itu telah mengambil kira mereka yang mendaftar mahu ke Jeddah tetapi kemudian memutuskan untuk tinggal di Mesir dan ada juga tidak mendaftar mahu ke Jeddah tetapi mengubah fikiran di saat akhir untuk dipindahkan.
suarapeople : ya allah,selamatkanlah saudara-saudara se-islam ku di Bumi Mesir..
:)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment