Friday, July 15, 2011

Harimau Muda bercita-cita sekat dominasi Jepun

Meskipun Skuad Malaysia terpaksa bersaing dengan gergasi Asia, Jepun dalam kelayakan Olimpik Asia, namun jurulatih Ong Kim Swee jelas begitu optimistik skuadnya mampu melakukan kejutan.

Turut bersama Malaysia dalam kumpulan C ialah Syria dan Bahrain, yang mana ada pihak berpendapat skuad negara bakal menerima cabaran sukar dan tidak ketinggalan ada juga yang menganggap mereka bernasib baik.

Apapun cabarannya, Kim Swee nyata mahu mengetepikan perasaan gusar dan gementar sebalikya menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan corak permainan.

"Memang kami tahu, Jepun adalah pasukan terkuat Asia manakala Syria dan Bahrain juga banyak melibatkan diri dalam arena bola sepak antarabangsa. Pun begitu, ia tidak menjadi alasan untuk kami berasa gementar.

"Untuk menjadi pasukan yang hebat anda tidak boleh memilih pasukan lawan. Untuk itu, kami harus fokus dalam satu demi satu perlawanan. Apa yang pasti, bertemu Jepun adalah tugas paling mencabar," katanya.

Kim Swee juga menjelaskan pihaknya tidak akan membuat perubahan besar bagi menghadapi saingan itu, sebaliknya hanya akan memanggil beberapa pemain baru dari pasukan negeri.

"Kami akan membuat pemilihan pemain baru pada 11 Julai ini untuk memperkukuhkan jentera. Kami tidak akan membuat perubahan besar lebih-lebih lagi kerana kesuntukan masa," katanya.

Salah seorang Jurulatih berpengalaman, Datuk M. Karathu, turut diminta mengulas mengenai kemampuan Malaysia untuk bersaing dengan juara Asia itu dalam kumpulan C. Ini komen beliau:



"Jepun adalah pasukan yang kuat dan memiliki pemain bertahap lebih tinggi, jika dibandingkan dengan Syria dan Bahrain. Liga-J juga adalah antara liga yang terbaik di dunia. Jadi saya berpendapat, Jepun adalah pencabar paling sukar untuk Kim Swee.

"Pun begitu, ia tidak menjadi mustahil kepada Malaysia untuk melakukan kejutan. Saya percaya dengan strategi dan susunan pemain Kim Swee, Malaysia mampu menyerlah dalam saingan itu.

"Jika kita lihat sejak kebelakangan ini juga, Malaysia nyata memiliki ramai pemain muda yang berkebolehan, jadi ia menjadi tugas jurulatih menyusun strategi untuk menggunakan sepenuhnya keupayaan mereka," kata M. Karathu.

Sedikit sebanyak mengenai prestasi Jepun. Skuad matahari terbit itu adalah pasukan yang tidak asing dalam Sukan Olimpik dimana mereka layak pada setiap edisi sejak tahun 1996 iaitu selepas format baru (bawah 23) diperkenalkan.

skuad itu turut berjaya merangkul pingat gangsa pada 1968 di Mexico dan pernah menduduk tempat kelima terbaik pada edisi 2000 di Australia.

Pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, Jepun tersingkir di pusingan pertama selepas tewas 0-1 kepada Amerika Syarikat dan Belanda dan juga tumpas 2-1 di tangan Nigeria.

Pada esisi kali ini di London, mereka dijangka akan lebih menyerlah lebih-lebih lagi di bawah jurulatih Takashi Sekizuka, seorang penyerang semasa beraksi bersama Honda FC dalam Liga-J.

1 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails