Thursday, November 24, 2011

“Hati Saya Belum Ada Taman, Belum Tumbuh Lagi…” – Elfira Loy


“Hati saya belum ada taman lagi, belum tumbuh lagi,” begitulah yang diungkapkan oleh Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama menerusi drama ‘Kum Kum’ di Anugerah Skrin 2011, Elfira Loy ketika ditanya sama ada hati gadis berusia 17 tahun ini sudah dimiliki atau belum.

“Kalau pasal teman lelaki, buat masa ini saya masih belum ada sesiapa yang istimewa. Tapi kalau kawan memang ramai,” ujarnya Elfira ketika ditemui pada majlis pelancaran program ‘Travelog AirAsia’ di Bangsar Village, baru-baru ini.

Ketika ditanya sama ada dia mempunyai masalah bergaul dengan rakan-rakan di sekolah memandangkan statusnya sekarang ini sebagai pelakon muda meningkat popular, Elfira menyatakan tiada isu memilih kawan kerana dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkawan dengan sesiapapun.
“Saya berkawan dan dikenali dengan hampir semua orang di sekolah sebelum saya dikenali sebagai artis lagi. Mungkin disebabkan saya adalah atlet di sekolah dan itu yang membuatkan saya dikenali dan mudah bergaul dengan sesiapapun.”

Mengimbau semula detik kemenangannya merangkul anugerah Pelakon pembantu Terbaik Drama, gadis yang ketika ini sedang menduduki Sijil Peperiksaan Menengah (SPM) mengakui masih terkejut dengan kemenangan tersebut memandangkan dia langsung tidak tahu dirinya tercalon.

“Saya tidak dapat hadir malam anugerah itu kerana sedang mengulangkaji pelajaran untuk SPM. Lagipun saya dapat surat jemputan ke anugerah tersebut empat hari sebelum ia berlangsung, jadi memang tidak buat apa-apa persiapan langsung,”

“Masa diumumkan sebagai pemenang, saya langsung tidak tahu menahu sehinggalah saya perasan handphone saya tak henti berbunyi membuatkan saya sendiri naik hairan. Bila saya periksa handphone, baru tahu yang saya dah menang anugerah,” jelas Elfira lagi.

Tambah Elfira lagi, kemenangan yang diraih tidak sedikitpun membuatnya naik kepala malah menganggap perlu banyak ilmu lakonan yang harus dipelajarinya.

Tidak seperti segelintir artis yang mulai selektif dalam pemilihan naskah demi menjaga mutu dan kelas lakonan, Elfira sebaliknya pula tidak meletakkan sebarang standard untuk dirinya dalam memilih projek drama mahupun filem.

“Saya ini seorang yang sempoi, apa-apa tawaran drama atau filem saya terima, redah saja. Tak nak pilih-pilih naskah kerana saya percaya kehebatan sesebuah drama atau filem bukan terletak pada naskah, yang penting kredibiliti pelakon itu dalam menghidupkan watak dalam sesebuah cerita,” katanya lagi.

Selepas selesai peperiksaan SPM nanti, Elfira akan menjalani penggambaran untuk musim terbaru siri Disney Channel Asia, ‘Waktu Rehat’ selain bakal menjalani penggambaran telefilem arahan michael Ang bertajuk ‘Biar mimpi Sampai Ke Bintang’ bergandingan dengan aktor pujaan dari seberang, Randy Pangalila yang akan ditayangkan di Astro Ria.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails