Friday, November 25, 2011

Noraniza Idris Akui Rezeki Lebih Murah Selepas Berkahwin


Penyanyi lagu berentak etnik kreatif, Noraniza Idris, 43, mengakui rezekinya semakin bertambah sejak berkahwin dengan Jeffri Hudi, 52, seorang bilal sebuah masjid di Singapura pada September lalu.

Noraniza berkata, suaminya banyak membantu menguruskan kerjaya seninya selain sentiasa memberi nasihat dan dorongan kepadanya.

"Alhamdulilah rezeki selepas berkahwin semakin murah dan jelas. Suami juga banyak membantu dalam mengaturkan kerjaya seni supaya lebih teratur," ujarnya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Dikir Puteri itu ditemui pada sidang media program Santai Primadona Noraniza Idris 2012 di Restoran Seri Melayu disini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Noraniza memberitahu dia bakal melancarkan single terbarunya bersama peminat pada 25 Disember depan di Hotel MSuite Johor Bahru.

Noraniza berkata, lagu Dekatlah Padaku nyanyian asal Datuk Sharifah Aini itu akan dimuatkan dalam album penuhnya berjudul Primadona dan akan dipasarkan pada Mei tahun hadapan.

"Single itu nanti akan dilancarkan bersama peminat-peminat Kak Ani yang datang ke Hotel MSuite iaitu menerusi program Santai Primadona Noraniza Idris.

"Jelajah ini juga adalah untuk mempopularkan kembali lagu-lagu dari era 70-an selain menghargai jasa dan pengorbanan biduanita negara yang pernah mengharumkan industri muzik," ujarya.

Ujarnya, selain lagu daripada Sharifah Aini, dia bakal merakamkan lagu-lagu popular daripada Allahyarham Rafeah Buang dan Sanisah Huri untuk album terbaru itu nanti.

Tambah Noraniza, suaminya banyak membantu dalam pemilihan enam buah lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut seperti Pengorbanan, Perpisahan dan Sejak Ku Bertemu Pada Mu dan lain-lain.

Sementara itu, bercakap mengenai program Santai Primadona Di Hotel MSuite, Noraniza berkata, ia adalah kerjasama syarikatnya iaitu Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. (NIPV), A&A World Vacation Sdn. Bhd. dan Fontana Cafe & Catering.

Ujarnya, acara itu telah lama dirancang iaitu sejak tahun 2008 tetapi hanya pada Disember depan ia dapat dilaksanakan.

"Ia bukan sekadar untuk melancarkan single terbaru saya tetapi juga untuk mempromosikan pelancongan Malaysia melalui seni dan budaya terutamanya kepada pelancong di Singapura.

"Disini pihak A&A World Vacation akan memainkan peranan yang akan menyediakan pakej percutian istimewa dengan aktiviti terancang pada program itu nanti.

"Manakala Fontana Cafe & catering akan menyediakan makanan istimewa kepada semua pengunjung dengan pelbagai aktiviti disediakan," katanya.

Noraniza berkata, pakej percutian itu menawarkan harga serendah RM200 (dewasa)dan RM99 (kanak-kanak dibawah 12 tahun) dengan tempat terhad untuk 350 orang sahaja.

Tambahnya, sesiapa yang ingin menyertai program atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03- 5621 2648 (Kuala Lumpur) atau 07 - 5569 276.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails