Thursday, February 28, 2013

Lana Nordin bukan 'jual' kontroversi



Lana Nordin
Lana Nordin

Lana Nordin
Gambar Lana bersama Parvel ketika bercuti di Bali.

BIARPUN namanya sering terpalit dengan kisah-kisah panas, pelakon popular, Lana Nordin berjaya membuktikan dirinya bukan hanya dikenali menerusi kontroversi semata-mata.

Menerusi Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) yang bakal berlangsung pada 2 Mac ini, Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nordin, 34, berjaya melayakkan diri dalam Top 5, bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, menerusi filem Chow Kit.

Enggan mendabik dada dengan pencalonan itu, anak kelahiran Kuching, Sarawak, ini mengakui tidak mengharapkan apa-apa kemenangan dalam kategori tersebut.

"Pertama kali dicalonkan dalam FFM, saya memang terharu, terkejut dan bersyukur. Namun, saya akui, nama-nama lain yang turut dicalonkan jauh lebih hebat daripada saya.

"Saya sangat mengagumi mereka dan tentunya harapan untuk menang agak tipis. Pun begitu, saya bersyukur kerana tersenarai dalam kategori ini. Bagi saya, ia sudah cukup membanggakan.

"Saya berpuas hati dengan lakonan saya menerusi watak Siah. Pun begitu, saya kecewa kerana tidak semua babak dapat dipertontonkan kerana kekangan masa. Namun, ianya terubat dengan pencalonan ini," katanya yang hadir ketika majlis sidang media pengumuman tarikh FFM25, di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Selain Lana, empat pelakon hebat yang dicalonkan dalam kategori ini termasuklah Fauziah Nawi (Hoore! Hoore!), Normah Damanhuri (Songlap), Lisa Surihani (Ombak Rindu) dan Nabila Huda (Jalan Kembali).

Tak layak?

Mengakui pemilihan finalis FFM25 bukan diukur daripada populariti seseorang artis, Lana enggan memikirkan tohmahan dan kritikan yang bakal timbul ekoran pencalonan tersebut.

"Tidak perlu mempertikaikan pencalonan itu kerana individu yang dipilih bukanlah diukur daripada populariti. Lagipun, tiada unsur 'beli undi' dalam FFM kerana proses penjurian sangat dititikberatkan dan tiada undian.

"Saya akui, memang saya tak banyak berlakon filem. Namun, tak semestinya berlakon banyak-banyak, baru layak dapat pencalonan. "Walaupun hanya terlibat dalam satu atau dua filem, jika pelakon itu berjaya membuktikan kemampuan dengan sokongan filem yang bagus dan jalan cerita menarik, apa lagi mahu dipertikaikan?," katanya yang juga digelar Pamela Anderson Malaysia ekoran imej seksinya.

Selain filem Chow Kit, Lana juga pernah membintangi filem arahan Afdlin Shauki, Pontinak vs Orang Minyak dan beberapa drama termasuk Gol & Gincu, Astana Idaman 3, Dunia Baru, Mendung Berarak Kelabu, Impian Itu Milik Kita, Kamasutra, Akademi

Cinta, Puteri, Cebisan Duka, Aku Juga Perlu Cinta, Kaizer, dan Tidurlah Permaisuri.

Ditemani kekasih

Tidak berselindung mengenai hubungan cintanya bersama model kelahiran Republik Czech, Parvel Michalec, 24, kehadiran Lana di sidang media FFM25 turut ditemani kekasihnya itu.

Bertanya mengenai tahap hubungannya, Lana mengakui mereka kini dalam proses mengenali antara satu sama lain.

Malah, kata Lana, ruang yang ada ketika ini digunakan untuk memperkenalkan budaya dan cara orang Melayu kepada Parvel.

"Insya-ALLAH, saya akan ke Czech pada Julai atau Ogos ini. Saya ingin bertemu dengan keluarganya di sana kerana Parvel melakukan perkara yang sama di sini.

"Saya telah membawanya berjumpa keluarga saya dan membawa ke set untuk melihat cara kerja saya. Lagipun, keluarga saya menerima Parvel dengan baik.

"Pun begitu, kami masih belum bercadang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini. Biarlah dia (Parvel) memahami budaya dan agama Islam terlebih dahulu," katanya yang baru sahaja pulang bercuti di Bali bersama Parvel dan lima rakannya yang lain.

Lana dan Parvel yang menjalinkan hubungan cinta sejak lapan bulan lalu turut berhadapan dengan kontroversi hebat apabila gambar berbikini ketika percutian mereka pada tahun lalu tersebar.

Mengakui lebih berhati-hati dalam setiap langkahnya, Lana tidak mahu perkara yang sama berlaku lagi pada dirinya.

"Cukuplah, saya tidak mahu ia berulang lagi. Kini, saya lebih berhati-hati dalam segala perkara," katanya.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails