Friday, March 1, 2013

Tak tiru Juvana: Karlos hidang lebih aksi



Tak tiru Juvana: Karlos hidang lebih aksi
Feroz (kanan) bersama barisan pelakon Karlos

"Erti penderitaan sebenar", adalah satu ungkapan yang boleh diberikan terhadap jalan penceritaan drama Karlos yang bakal menemui penonton menyusuli drama Spy M di slot Aksi bermula 4 Mac ini.

Drama terbitan Front Row Pictures Sdn Bhd ini mengisahkan perjalanan hidup seorang remaja bernama Irwan Zaid yang sering dipinggirkan di dalam keluarga itu, bakal menambat hati penonton dengan pelbagai babak menarik yang diselitkan menerusi drama tersebut.

Mengangkat naskhah Sofia J Rhyland sebagai penulis skrip, drama arahan Feroz Kader ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat antaranya Johan As'ari, Syazwan Zulkifly, Sherlie Merlis, Namron, Jay Iswazir dan Azhar

Sulaiman yang bakal menjadikan drama ini sebagai satu  fenomena terbaru buat penonton.

Berinspirasi daripada kisah benar, drama 13 episod ini bukan sahaja menghiburkan, malah jalan cerita dipaparkan penuh dengan pelbagai mesej berguna.

Menurut Feroz, drama itu tidak hanya sarat dengan adegan aksi yang mendebarkan, malah ia turut disajikan dengan beberapa mesej yang mendalam untuk tatapan penonton.

"Lihat sahaja tajuknya saya pasti sedikit sebanyak ramai yang boleh agak jalan cerita drama ini yang penuh dengan aksi.

"Namun di sebaliknya, drama ini turut dipenuhi dengan pelbagai mesej dan emosi yang pastinya akan memberi impak yang baik terhadap masyarakat," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran drama Karlos di Seri Pentas, kelmarin.

Bertanyakan sama ada mempunyai persamaan dengan Juvana, Feroz memberitahu Karlos memiliki jalan cerita tersendiri.

Pilih Johan, Syazwan

Menyentuh mengenai pemilihan pelakon yang terlibat, Feroz memberitahu dia memilih Johan As'ari (Irwan) dan Syazwan Zulkifly (Kenji) memandangkan mereka memiliki karakter yang bersesuaian dengan watak dalam drama tersebut.

Walaupun mengetahui pemilihan kedua-dua pelakon ini bakal dikaitkan dengan Juvana, namun Feroz memiliki alasan tersendiri.

"Kami sedar akan perkara ini tapi bagi saya, penonton yang setia mengikuti drama ini akan sedar sendiri bahawa Karlos dan Juvana adalah cerita berbeza. Lakonan dibawa Johan dan Syazwan dalam drama ini amat
berbeza, dengan watak yang lebih matang serta emosi diselitkan," katanya.

Cabaran demi cabaran

Dalam setiap pembikinan drama mahupun filem, pasti ia memiliki cabaran yang tersendiri untuk disempurnakan.

Feroz akui pembikinan drama ini tidaklah mudah, malah memerlukan penelitian yang baik supaya ia nampak lebih menarik terutamanya dalam babak aksi.

Selain daripada itu, Feroz juga mengatakan, keadaan cuaca yang tidak menentu turut beri cabaran buat mereka untuk meneruskan penggambaran di luar yang dijangka akan tamat sekitar pertengahan Mac ini.

"Walaupun sukar, tapi dengan komitmen yang diberi krew yang terlibat memudahkan kerja kami.

"Saya harap, penonton akan terhibur dengan drama ini kerana ia tidaklah semata-mata dipenuhi dengan aksi, malah drama ini memiliki mesej dan nilai murni yang tersendiri," jelasnya.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails