Aktres Gagal Saman Web Dedah Umur Sebenar
Seattle – Mahkamah di sini menolak tuntutan saman yang difailkan oleh seorang aktres Hollywood kurang terkenal yang mendakwa laman web Movie Database telah mendedahkan umur sebenarnya hingga menyukarkannya mendapatkan peluang lakonan.
Huong Hoang atau dikenali sebagai Junie Hoang menuntut saman sebanyak RM1 juta dolar terhadap laman web berkenaan.
Dia yang pernah muncul dalam filem `Gingerdead Man 3: Saturday Night Cleaver’’ dan `Hoodrats 2: Hoodrat Warriors’’ itu, mendakwa akibat pendedahan umurnya yang sebenar, dia sukar mendapat watak lakonan lagi.
Junie sebelum ini mendakwa lahir pada 1978, walhal dia dilahirkan pada 1971.
Menurut Junie, dia terpaksa berbuat demikian kerana sering menerima watak yang jauh lebih muda.
Kesnya itu menjadi tumpuan media kerana ketika mula-mula memfailkan saman pada 2011, Junie tidak mendedahkan identitinya.
Junie berkata, dia membuat keputusan menyaman laman web itu kerana menuntut agar butir-butir mengenai dirinya dijadikan sebagai privasi dan kerana diskriminasi.
“Harapan saya ialah supaya saya dapat membuat perubahan dalam maklumat pengkalan data ini. Saya tahu jika umur sebenar didedahkan, ia bukan sahaja menjadi masalah kepada diri saya malah kepada individu lain juga,’’ katanya.
Jelas Junie, umur sebenarnya telah didedahkan kepada orang ramai pada 2008.
Ketika membuat penghakimannya, hakim berkata, Junie gagal membuktikan bahawa dia mengalami kerugian akibat tindakan laman web berkenaan mendedahkan umurnya.
Junie juga, katanya tidak mengemukakan sebarang testimonial, dokumen atau bukti lain yang boleh menyokong tuntutan samannya itu iaitu kehilangan mata pencarian.
Biarpun gagal dalam tuntutan saman berkenaan, Junie bercadang meneruskan kerjanya dalam bidang lakonan.
0 comments:
Post a Comment