Monday, April 1, 2013

Catherine Zeta-Jones masih menyerlah



Catherine Zeta-Jones masih menyerlah
Catherine Zeta-Jones

Catherine Zeta-Jones masih menyerlah
Catherine Zeta-Jones bersama ' Zorro'

WANITA kelahiran Swansea, Wales ini memulakan karier lakonannya sejak berusia 14 tahun lagi.

Ketika itu, anak sulung tiga beradik ini terpilih memainkan peranan utama sebagai Annie bagi persembahan teater di Swansea.

Kejayaannya sebagai pelakon teater muda membawanya masuk ke dalam industri seni Hollywood dengan pantas.

Meskipun hanya sebagai pelakon kanak-kanak namun siapa sangka kerjayanya terus berkembang sehingga ke hari ini.

Ibarat sudah menduga rezekinya dalam bidang seni akan pergi jauh, aktres berusia 43 tahun ini sanggup mengetepikan pendidikannya dan meneruskan kerjayanya sebagai pelakon tanpa mendapatkan 'O-Levels'.

Kemudian, demi memantapkan mutu lakonannya, empunya nama Catherine Zeta-Jones ini nekad menyambung pengajian di The Arts Educational Schools di West London, selama tiga tahun dalam jurusan seni teater.

Sekitar 1990, Zeta-Jones mula muncul di layar filem menerusi filem arahan pengarah Perancis, Philippe de Broca’s iaitu Les 1001 Nuits.

Malah, dia juga amat popular menerusi drama bersiri The Darling Buds of May.

"Hanya satu jam muncul di kaca televisyen, ia sudah cukup mengubah perjalanan hidup saya, dan kerana itu saya tidak boleh ke mana-mana selain dalam industri seni," katanya bintang filem The Phantom ini.

Selain The Phantom, drama dan filem yang melonjakkan namanya termasuklah Christopher Columbus: The Discovery, The Cinder Path, The Return of the Native dan Splitting Heirs.


Diintai Steven Spielberg

Mempunyai wajah jelita semata bukan bermakna Zeta-Jones berjaya memikat pengarah tersohor Hollywood, Steven Spielberg tanpa bakatnya yang luar biasa.

Sebaliknya, dia sudah lama diintai pengarah filem War Horse itu sejak membintangi drama bersiri Titanic lagi.

Kerana itu, apabila rakannya, pengarah filem The Mask of Zorro mencari aktres yang sesuai bergandingan bersama Anthony Hopkins dan Antonio Banderas, dia terus mencadangkan nama Zeta-Jones.

Walaupun masih baru, namun Zeta-Jones tidak menghampakan kedua pengarah hebat itu, sebaliknya, demi filem box-office ini, dia telah belajar menari, menunggang kuda, lawan pedang dan masuk ke kelas dialek dalam memastikan watak Elena dapat direalisasikan.

Berdasarkan lakonannya, pengkritik filem Hollywood menjelaskan, Zeta-Jones, mempunyai pesona tersendiri yang membuatkan penonton tertumpu padanya dalam membawa apa jua watak sekalipun.

Bahkan kerana Elena juga, Zeta-Jones telah dinobatkan sebagai Pelakon Baru Pilihan di Blockbuster Entertainment Award serta tercalon dalam kategori, Aktres British Terbaik di Empire Award dan Aktres Terbaik di Saturn Award.

Dalam pada itu, selain The Mask of Zorro, lakonannya menerusi filem Entrapment sebagai Virginia Baker turut meninggalkan kesan di hati penonton.

Walaupun bergandingan bersama Sean Connery, namun bintang filem  The Haunting, Traffic, America’s Sweethearts, Intolerable Cruelty dan Death Defying Acts ini tetap menyerlah dalam filem itu.

Ia sekaligus mengangkat namanya setanding pelakon handalan Hollywood lain seperti Nicole Kidman, Angelina Jolie, Cameron Diaz, Sandra Bullock mahupun Julia Robert.


Watak penggoda, isteri curang

Baru sahaja muncul menerusi filem Side Effect, Februari lalu, nampaknya tahun 2013 bakal menyaksikan era kegemilangan Zeta-Jones kembali apabila dia muncul dengan filem terbarunya sekali lagi April ini.

Walaupun dua filemnya tahun lalu iaitu Lay the Favorite dan Playing for Keeps kurang mendapat sambutan tetapi, Side Effect dan Broken City pasti mengubat kerinduan peminat isteri kepada Michael Douglas ini.

Sedikit mengenai lakonannya dalam Broken City, ia memerlukan Zete-Jones memainkan peranan sebagai Cathleen Hostetler iaitu isteri kepada Nicholas Hostetler lakonan Russell Crowe.

Mengulas mengenai wataknya, Zeta-Jones berkata, bukan mudah baginya menjadi isteri yang curang.

"Saya perlu menjadi dua orang yang berlainan dalam satu masa dalam filem ini.

"Adakala, saya menjadi isteri yang sangat menggoda di depan suami namun disebaliknya, saya mempunyai orang lain di belakang dia.

"Apapun, pengalaman menjadi Cathleen Hostetler sangat berharga kepada karier saya," katanya.

Dalam pada itu, filem ini turut membariskan pelakon hebat Hollywood seperti Mark Wahlberg.

Bakal ditayangkan bermula 18 April ini, filem sentuhan Allen Hughes ini mengangkat genre aksi dan thriller.


Broken City

Pengarah: Allen Hughes
Pelakon: Mark Wahlberg, Russell Crowe dan Catherine Zeta-Jones
Genre: Aksi/Thriller
Durasi: 108 minit
Tarikh tayangan: 18 April


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails