Monday, April 15, 2013

Dazrin Nafi Bermasam Muka Dengan Hairul


Dazrin Kamarudin

PETALING JAYA: Pelakon Dazrin Kamarudin terkejut apabila dikatakan mempunyai sikap pentingkan diri tanpa memikirkan perasaan orang lain sehingga membuatkan rakannya Hairul Azreen berkecil hati dengannya.

Dazrin, 25, juga menafikan kelakuannya itu turut membuatkan dia dan Hairul, yang merupakan pasangannya dalam program realiti Fear Factor Selebriti Malaysia musim pertama bermasam muka antara stau sama lain.

"Semua ini mengarut dan tidak benar. Pada mulanya, saya tidak tahu tentang berita ini sehinggalah Hairul menghubungi saya.

"Tak mungkinlah kami bermasam muka sedangkan saya dan Hairul sering lepak bersama jika tidak ada sebarang kerja-kerja seni," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.

Dazrin diminta mengulas mengenai sebuah laporan akhbar mingguan pada Ahad yang melaporkan pasangan juara Fear Factor itu bermasam muka gara-gara kelakun Dazrin yang terlalu mementingkan diri.
Dazrin dan Hairul muncul sebagai juara pada program realiti Fear Factor Selebriti Malaysia musim pertama.

Hal tersebut membuatkan Hairul meluat dengan karenah Dazrin yang juga agak sombong dengan cuba menjauhkan diri daripadanya

Tambah pelakon yang mula meningkat naik menerusi drama Adam dan Hawa itu, dia berharap menerusi penjelasan yang diberikan, tiada pihak yang akan mempersoalkan lagi mengenai gosip tersebut.

"Sebenarnya saya berada di Ketereh, Kelantan bagi menjalani penggambaran drama Syurga Di Wajahmu untuk TV1 dan rangkaian perkhidmatan telefon saya kurang jelas.

"Jadi apabila ramai yang menghubungi saya bertanyakan tentang isu ini, geram pula jadinya," seloroh Dazrin.

Dalam perkembangan lain, Dazrin juga semakin dikenali menerusi lagu terbarunya, Kota Antara.

Katanya, dia tidak sangka lagu tema bagi drama Jodoh yang ditayangkan menerusi Astro Prima turut menjadi perhatian di stesen-stesen radio tempatan.

"Alhamdulillah, semua ini saya anggap adalah satu rezeki buat saya. Memang saya minat menyanyi, tetapi tidak sangka ia menerima permintaan yang banyak di radio.

"Bagaimanapun, kerja-kerja lakonan tetap diutamakan dahulu sebelum mahu fokus ke bidang nyanyian pula. Saya perlu asah bakat nyanyian betul-betul sebelum bergelar penyanyi," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails