Farah Fauzana Telan Ubat Tidur Sampai Dapat Memo Dari HotFM!
“Ni pertama kali. Jangan risau, saya tak akan dapat memo lagi lepas ni (ketawa)”, itu kata Fara Fauzana aka Fafau sekaligus mengesahkan baru-baru ini dia menerima memo daripada majikannya pada Selasa lalu.
Semuanya gara-gara ubat tidur yang diambilnya menyebabkan dia secara tak sengaja, tidak datang bertugas di konti pada pagi itu.
Fafau berkata, sejak malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH12) yang berlangsung pada malam Ahad lepas, menyebabkan dia berasa tidak sihat akibat kepenatan. Lalu pada pada hari Isninnya dia pergi ke farmasi untuk mengambil ubat selesema. Selepas memakan ubat tersebut dia terus dapat tidur lena sehingga terlajak.
“Isnin tu, saya ke farmasi. Saya minta ubat selesema. Orang farmasi tu tanya pada saya, berapa jam saya nak tidur? Saya kata, dalam lapan jam. Jadi dia berikan saya pil dan mengingatkan saya supaya tidak makan sebiji tetapi hanya perlu mengambil suku daripada pil itu. Jadi lepas makan ubat tu, jam 1 petang saya tertidur.
“Bila saya bangun saya ingatkan dah malam. Rupanya dah pagi Selasa, jam 10 pagi. Sudahnya, saya tak masuk konti dan hari tu juga saya dapat memo. Pihak pengurusan memang tegas. Tak kiralah siapa pun, kalau tak masuk kerja seperti yang ditetapkan, mereka terus bagi memo”, kata Pengacara TV Popular ABPBH2012 ini sambil tertawa mengenangkan peristiwa itu.
Fafau yang ditemui majlis sidang media Teater Nyonya & The Gang diminta menjelaskan mengenai tulisan di Twitternya pada Selasa lalu yang mengatakan dia mendapat memo, sehinggakan ramai peminatnya terkejut dan tertanya-tanya sama ada ia benar atau hanya gurauannya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai penglibatannya dalam Nyonya & The Gang, ini merupakan kali pertama Fafau bakal berlakon teater di Panggung Sari, Istana Budaya. Sekaligus tawaran tersebut dilihat sebagai satu peluang yang tak mungkin boleh dilepaskan begitu saja.
“Saya fikir, kalau saya tak buat sekarang, bila lagi saya nak buat teater di Istana Budaya”, katanya.
Meskipun sebelum ini dia pernah menjayakan teater nukilan dramatis Wisran Hadi itu, namun Fafau mengakui cabaran kali ini lebih besar.
Selain perlu fasih berdialog dengan lenggok bahasa Indonesia, dia perlu memastikan kemantapan lakonannya sebaris dengan nama-nama besar yang tidak asing lagi dengan dunia teater seperti Amy Mastura, Misha Omar, Taiyuddin Bakar dan Mardiana Alwi yang turut membintangi teater arahan Rosminah Mohd Tahir ini.
“Saya pernah jayakan Nyonya di Matic pada 2011. Terus terang, saya memang tak suka bahasa Indonesia. Tapi teater ni memerlukan kita bertutur dalam bahasa Indonesia. Jadi untuk berlakon, saya perlu juga memastikan lenggok gaya percakapan saya tu betul. Macam pengalaman lalu, saya terbawa-bawa juga percakapan saya hingga ke luar pentas, misalnya di konti saya bercakap dalam lenggok Indonesia.
“Selain tu cabaran besar kali ini semesti berlakon di pentas yang lebih besar. Tekanan tu ada. Tambah-tambah saya bergandingan dengan nama besar macam Misha Omar dan Amy Mastura. Jadi saya perlu pastikan lakonan saya sama level dengan mereka. Tapi saya percaya dengan bimbingan dan tunjuk ajar prengarah, saya boleh lakukan yang terbaik!”, katanya penuh yakin.
Diarahkan oleh Rosminah Mohd Sidik, teater ini turut menampilkan pelakon seksi lagi jelita Rozita Che Wan. Dipentaskan buat kali keenam, Teater Nyonya & The Gang mengisahkan seorang isteri yang terpaksa menjual satu-persatu barang antiknya kepada Tuan (lakonan Tayuddin). Daripada bertukar barang hinggalah ‘menjual orang’.
Teater ini bakal dipentaskan pada 14 hingga 20 Jun 2013. Maklumat lanjut boleh menghubungi 017-200 4249, 03-6168 6592 atau mendapatkan tiket, boleh menghubungi 03-8775 4666.
0 comments:
Post a Comment