Saturday, April 13, 2013

Langgar: Lain dari lain!



Langgar: Lain dari lain!
Antara babak Filem Langgar

AKSI bertumbuk, sepak terajang, pergaduhan menggunakan senjata tajam seperti parang, pisau, pedang dan juga botol pecah berserta botol antara elemen yang menjadi taruhan dalam filem terbaru, Langgar.

Biarpun industri perfileman kini mula dihujani dengan filem berunsur gangsterisme yang meletakkan perebutan kuasa, ketamakan duit sebagai punca kuasa utama penceritaan, namun Langgar diolah berlainan.

Meskipun agak klise dari genre filem, namun Langgar mempunyai ‘sesuatu’ yang harus ditonton oleh peminat filem tempatan yang inginkan sebuah aksi yang lebih realistik dan tidak di buat-buat dan itulah kelebihan filem pertama arahan Syed Hussein Syed Mustafa atau lebih dikenali sebagai Sein Ruffedge.

Apatah lagi, barisan pelakon yang mantap seperti Adi Putra, Hans Isaac, Khir Rahman, Namron, Bell Ngasri, Zulhuzaimi, dan Natasha Hudson, membantu mencantikkan filem yang berdurasi 95 minit ini.

Tidak hanya mempertaruhkan aksi mantap semata-mata, permainan emosi yang mendalam bagi tunjang utamanya iaitu Adi.

Menyentuh mengenai tindakannya yang menceburi bidang pengarahan selepas pengacaraan dan nyanyian, Sein pengalaman menuntut dalam bidang lakonan dan pengarahan di London School of Film selama dua tahun banyak memberi erti kepadanya.

Tidak menjadikan mana-mana filem sebagai sumber inspirasi utamanya, ujar Sein, setiap lelaki pasti mempunyai filem aksi yang diminatinya.

“Saya memang suka filem aksi. Salah sebuah filem yang saya suka ialah Lock, Stock and Two Smoking Barrels oleh Guy Ritchie. Jadi secara automatik, apa yang diinginkan dalam Langgar sudah bermain dalam filem ini.

“Saya sukakan permainan karakter yang difokuskan Guy Ritchie dalam filem itu,” katanya yang tidak pasti adakah akan mengarahkan filem aksi lagi selepas ini.

Justeru, pada pendapat penulis sendiri, Langgar adalah sebuah karya berbeza yang bukan sahaja memaparkan dunia gangster semata-mata, tapi bagaimana seorang lelaki yang bergelar suami dan bakal bergelar ayah, sanggup mengorbankan kerjaya dan hidupnya demi membalas dendam.


Kolaborasi mantap

Kelebihan utama filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan Hadir Dinamik Sdn Bhd ini, adalah tonggak utama yang menjadi nadi dalam menggerakkan jalan cerita.

Adi, Namron, Zulhuzaimy, Khir dan Hans adalah antara individu penting yang sentiasa menimbulkan konflik dan kebencian antara satu sama lain.

Rasa benci, rasa untuk bersaing dan rasa ketamakan meletakkan setiap karakter dalam permasalahan yang tersendiri namun saling berkaitan dengan nafsu dendam Nizam.

Malah setiap karakter yang bermain di layar tidak terlebih atau terkurang sebaliknya Sein garap ke semua watak tersebut dan di susun satu demi satu.

Dalam setiap permainan yang penuh tanda tanya, Sein leraikan satu persatu apabila pergerakan cerita semakin bertemu pada titik penghujungnya.

Namun, bagi menggelakkan penonton sentiasa disumbatkan dengan perjalanan cerita yang berat, Sein meletakkan sedikit dialog serta babak komedi dan individu yang menjadi nadi kepada gelak tawa penonton adalah menerusi aksi bersahaja Khir dan dialog lucu Bell.

Dek kerana diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas, nasihat penulis, usah disensasikan babak mesra antara Namron dan Natasha, sebaliknya fikirkan apa kesan yang diterima oleh seorang gadis yang memilih jalan mudah untuk mendapat kewangan dalam kadar segera.


Sinematografi mantap

Satu perkara lagi yang menjadi point kelebihan buat Sein adalah kekemasan setiap sudut angle kamera apatah lagi melibatkan babak aksi.

Kerana babak pertarungan yang melatari segenap perjalanan cerita ini, Sein berjaya meletakkan babak-babak penting tanpa meninggalkan babak yang lain.

Selain itu, sejak babak permulaan lagi, Sein telah berjaya mengikat penonton untuk mengetahui apakah yang akan terjadi seterusnya dan seterusnya sehingga penghujung cerita.

Biarpun sudah dapat mengagak siapakah ‘master mind’ dalam penceritaan ini, namun debaran sepanjang menonton ini tidak ada kurangnya.


Hanya kerana nafsu

Langgar mengisahkan Nizam (Adi Putra) yang ingin menuntut keadilan berikutan kematian isterinya. Aina (Nadia Heng) yang sarat hamil anak sulung dirogol dan dibunuh oleh sekumpulan gangster.

Nizam ingin mencari darah sebagai galang gantinya. Dia kemudian diperkenalkan kepada Radzi (Namron) oleh Khairul (Bell Ngasri), seorang teman lamanya. Setelah diuji oleh Loy (Zulhuzaimy) iaitu orang kanan Radzi, Nizam layak menyertai mereka.

Radzi juga berurusan dengan Jimi (Hans Isaac), seorang pengedar dadah yang mempunyai empayar di beberapa buah negara Asia Tenggara. Amanda (Natasha Hudson) merupakan kekasih kepada Radzi dan juga seorang penagih dadah.

Justeru, bagi mengetahui keseluruhan jalan cerita ini dan apa kesudahannya dengan hidup Nizam dan Amanda, jangan lupa saksikan filem hebat ini di pawagam bermula semalam.


Langgar

PENGARAH : Sein Ruffedge
PELAKON : Adi Putra, Hans Isaac, Khir Rahman, Namron, Bell Ngasri, Zulhuzaimi, Natasha Hudson, Komeng dan Nadia Heng.
GENRE : Aksi/Drama
DURASI : 95 minit
KLASIFIKASI : 18
TAYANGAN : 11 Apr 2013
KESELURUHAN : * * * * BESTLAH!!!


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails