Sari Yanti
PELAKON yang mula dikenali menerusi drama Kisah Kaisara ini sememangnya bertuah kerana memiliki kecantikan semula jadi.
Meskipun sudah berumah tangga dan mempunyai dua anak, namun bentuk badan dan raut wajahnya masih seperti anak dara.
Menariknya, walaupun umurnya sudah mencecah ke angka 30 tahun, tetapi ramai yang menyangka pelakon Impak Maksima ini masih di awal 20-an.
Selepas beberapa tahun dalam industri, empunya nama Sari Yanti Mohamad Nazari, ini agak menyepi dari bidang seni selepas melahirkan anak keduanya, Basit Al Haq, 1.
Apa pun, jom kita kongsi petua dan amalan Sari dalam ruangan Cantik & Sihat kali ini.
Bentuk badan anda masih tidak berubah meskipun sudah mempunyai dua anak, boleh kongsikan amalan anda untuk mendapat tubuh sebegini?
Sebenarnya, saya tidak mengamalkan apa-apa rahsia untuk mendapatkan bentuk badan ideal, cuma saya seorang yang gemar memakan buah-buahan. Rasanya, kalau tak makan nasi pun tak menjadi masalah sebab saya boleh makan buah tanpa mengira masa.
Jadi anda memang tidak mengamalkan petua lain selain mengambil buah sahaja?
Buah ibarat makanan ruji saya, saya akan makan lima jenis buah setiap hari. Paling tidak pun sebiji mangga sudah cukup untuk saya.
Sebab itulah dalam peti ais di rumah saya sentiasa penuh dengan buah. Untuk mengamalkan petua lain bagi saya tidak perlu memandangkan buah sudah cukup khasiat dan zatnya.
Adakah anda turut mengambil suplemen atau makanan tambahan lain?
Saya bukan seorang yang berdisiplin untuk mengambil suplemen, tetapi saya ada memakan multivitamin sebagai makanan tambahan. Ia sekadar untuk mengekalkan stamina sahaja. Apa pun, paling penting adalah menjaga pemakanan kita.
Beralih kepada senaman pula, agaknya apa senaman yang menjadi rutin anda?
Jujur saya katakan, saya bukanlah seorang yang suka dan sering bersenam kerana saya seorang yang agak sibuk. Namun, bagi mengeluarkan peluh, saya akan gantikan dengan aktiviti turun naik tangga dan jika ada kelapangan, setiap hujung minggu saya akan berenang bersama anak- anak.
Boleh terangkan cara anda menjaga kesihatan rambut dan kulit wajah?
Saya cukup bertuah kerana tidak mengalami masalah yang melibatkan rambut atau kulit wajah. Bagaimanapun itu tidak bermakna saya tidak perlu mengambil berat tentangnya. Biasanya saya hanya melakukan rutin harian yang asas sahaja. Saya akan mencuci rambut dan muka di rumah sahaja. Saya tidak pernah melakukan 'facial' mahupun ke salun rambut.
Sedikit mengenai pandangan anda mengenai kecantikan.
Cantik itu subjektif, pada saya ia bermula dari hati. Jika hati kita bersih dan niat kita baik, pasti kecantikan semula jadi akan terpancar dari wajah kita. Pun begitu, kecantikan luaran perlu dijaga juga, barulah seimbang.
Pesanan anda buat peminat.
Untuk cantik dan sihat, perlulah amalkan pemakanan yang berkhasiat. Jaga berat badan dan dapatkan bekalan buah-buahan yang mencukupi untuk badan kita sebagai menu wajib dalam sajian harian.
0 comments:
Post a Comment