Rezeki Uqasha Senrose Bertambah
PETALING JAYA – Pelakon baru, Uqasha Senrose bersyukur apabila tawaran lakonan yang diterimanya semakin bertambah sejak dia melepaskan jawatannya sebagai pramugari sebuah syarikat penerbangan.
Uqasha atau nama sebenarnya atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 21, berkata, dia turut lega apabila kisah kontroversinya sebelum ini iaitu dituduh sebagai orang ketiga dalam perhubungan pasangan selebriti beberapa tahun lalu tidak menjejaskan namanya.
“Dahulu ketika kontroversi lama berlaku, diakui saya hilang arah lebih-lebih lagi tawaran lakonan langsung tidak ada, sedangkan waktu itu saya baru mahu berjinak-jinak dalam bidang lakonan.
“Kerana itu juga saya membuat keputusan meneruskan kehidupan dengan beralih ke bidang lain dengan menjadi pramugari.
“Tetapi jiwa saya tidak tenang sebab pekerjaan yang saya lakukan itu bukan atas dasar minat,” katanya.
Tambah Uqasha, dia juga tidak sangka sejurus selepas berhenti kerja dan ditawarkan berlakon drama Setia Di Hujung Nyawa (TV3), popularitinya terus meningkat.
Malah jadual kerja kakak kepada pelakon Nellydia Senrose ini mulai padat sehingga ttahun 2014.
“Alhamdulillah lepas satu, satu rezeki yang datang lebih-lebih lagi saya kini bernaung di bawah syarikat MIG (Metrowealth International Group).
“Malah saya turut menjayakan dua buah filem iaitu Bencinta dan Paku Pontianak.
“Walaupun ada peminat yang cuba membandingkan lakonan saya dengan adik saya, ia bukan masalah kerana apa yang penting saya seronok untuk bersaing dengan sihat,” ujarnya. – mStar Online
0 comments:
Post a Comment