Tuesday, April 2, 2013

Ryzal Jaafar bakal tampil single pertama



Ryzal Jaafar
Ryzal Jaafar.

MUNGKIN ramai yang tidak tahu, pelakon Ryzal Jaafar sebenarnya memiliki bakat dalam bidang nyanyian dan berhasrat untuk bergerak serius sebagai penyanyi.

Menurut Ryzal, minat sebenarnya bukanlah terletak pada bidang lakonan tetapi bidang nyanyian, namun tidak menyangka rezeki sebagai seorang pelakon lebih menyebelahi dirinya.

"Bagaimanapun, saya masih menyimpan hasrat untuk bergelar seorang penyanyi dan sekarang saya dalam perancangan untuk ke arah itu dengan menghasilkan sebuah single.

"Mungkin single itu menampilkan muzik pop balada dan diselitkan sedikit elemen k-pop," katanya yang kini sedang membintangi drama bersiri Bangkitnya Seorang Perempuan dalam slot Samarinda di saluran TV3.

Mencari teman istimewa

Menyentuh mengenai perjalanan kehidupannya, pelakon yang kini mencecah usia 31 tahun ini memberitahu dirinya masih belum memiliki teman istimewa.

"Secara jujurnya, sekarang saya memang ada keinginan untuk memiliki cahaya mata. Tapi jodoh masih belum ada dan sekarang saya masih mencari pasangan yang sesuai.

"Saya sedar usia semakin meningkat dan ada kalanya agak cemburu melihat pasangan suami isteri lain," katanya.

Bertanyakan ciri-ciri wanita pilihannya, Ryzal memberitahu dia tidak mahu terlalu memikirkan soal itu.

"Saya sendiri tidak meletakkan ciri-ciri tertentu terhadap wanita yang akan saya pilih. Bab itu saya tidak kisah, yang penting dia seorang yang memahami," katanya.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails