Berikutan kontroversi babak ranjang dalam trailer filem “Mencari Cinta” yang melibatkan pelakon comel, Nora Danish dan Rusdi Ramli sekitar bulan lalu, akhirnya aktres tersebut tampil untuk menjelaskan segala kontroversi dan spekulasi yang tidak benar mengenai dirinya melalui trailer tersebut.
Menurut Nora Danish, dia sendiri akui trailer tersebut agak memberangsangkan, akan tetapi aktres ini telah menolak dakwaan kononnya dia melakonkan babak ranjang seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak yang menonton.
Sebenarnya memang trailer itu agak memberangsangkan dan mungkin itu salah satu daripada segi promosi supaya orang rasa teruja untuk menonton filem ini. Lagipun selalunya trailer-kan memang macam itu, tapi bagi saya kalau cerita itu terlalu ghairah ataupun terlalu banyak adegan berahi, pihak Finas tak akan luluskan.
Memandangkan filem ini dah dapat kelulusan daripada Finas, jadi maknanya cerita itu boleh dipertontonkan untuk semua lapisan masyarakat. Lagipun ianya untuk tontonan 13 tahun keatas.
Mengulas lebih lanjut mengenai kritikan pedas dan negatif daripada sesetengah pembaca blog yang kebanyakan memandang serong terhadap dirinya, aktres ini telah mengambil keputusan untuk tidak terlalu mengambil tahu atau membaca segala komen tersebut dan lebih selesa untuk bersikap positif.
Sebenarnya saya tak tengok blog-blog yang mencaci diri saya dan sebagainya. Jadi, saya tak tahu apa yang orang komen, tapi saya diberitahu oleh pihak lain mengenai perkara tersebut.
Ada orang mengkritik adegan itu dikatakan saya agak melampau, saya berbogel dan sebagainya, tapi sebenarnya semua itu tak benar. Saya tak berbogel, mungkin itu adalah apa yang nak dipaparkan oleh pihak pengarah untuk menampakkan adegan tersebut kelihatan ‘real,’ dan bila orang nampak macam itu, maknanya adegan itu bejaya disampaikan dengan baik. – Komen Nora Danish sewaktu bertemu di malam gala filem ‘Mencari Cinta’ semalam.
Dalam pada itu, pelakon wanita ini akui sedar dengan segala kesan yang bakal dihadapinya sewaktu melakonkan segala babak menerusi filem berkenaan, akan tetapi dirinya lebih senang untuk bersikap profesional dan melakukan segala tanggungjawab dengan baik.
Setiap babak yang ingin dilakonkan, saya dengan abang Rusdi akan bincang dulu nak buat macam-macam mana, bukan kami main buat macam itu sahaja. Lagipun saya memang ada fikir kesan serta kelogikan setiap babak yang dilakonkan.
Mungkin selepas dikritik daripada trailer itu abang Rusdi rasa sedikit terkejut sebab mungkin sebelum ini dia tak pernah kena kontroversi sedemikian. Macam saya, saya dah lama dalam bidang ini dan benda-benda macam itu saya pernah lalui, contonya macam filem “Aku Terima Nikahnya” dulu pun sama, saya kena kontroversi macam ini juga. Jadi, saya dah kuat untuk lalui semua itu.”
Bagi anda yang ingin tahu sejauh manakah kebenaran semua kontroversi tersebut, jangan lupa untuk menyaksikan filem “Mencari Cinta” di pawagam berhampiran anda mulai 25 April ini. Antara barisan pelakon lain yang turut terlibat dalam menjayakan filem ini adalah Riezman Ruzaimi, Fauziah Gous, Natasha Hudson serta Eina Azaman.
0 comments:
Post a Comment