Friday, April 12, 2013

Selit Dialog Seksual Dalam ‘Nyonya & The Gang’

'Nyonya & The Gang'


Selit Dialog Seksual Dalam ‘Nyonya & The Gang’


KUALA LUMPUR – Teater Nyonya & The Gang yang akan dipentaskan pada Jun depan akan mempunyai unsur-unsur seksual menerusi dialog-dialog dua maksud (double meaning) yang akan ditampilkan.

Bagaimanapun pengarahnya, Siti Rohayah Attan berkata, pihaknya tidak akan melebih-lebih teater yang menggunakan bahasa Indonesia itu kerana mahu ia dapat ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

“Teater ini terlalu artistik sebenarnya dan unsur seksual yang dimaksudkan ialah dialog bualan di antara nyonya-nyonya yang menggunakan pergerakan tubuh badan mereka.

“Namun saya tidak akan terlalu melebih-lebihkan perkara itu. Lagipun ada juga dialog dua maksud yang berunsur sinis,” katanya pada sidang akhbar Nyonya & The Gang di Istana Budaya, di sini, Rabu.

Nyonya & The Gang adalah sebuah persembahan teater yang menggabungkan dua cerita dalam satu pementasan.

Naskah Nyonya ditulis oleh Wisran Hadi manakala The Gang pula adalah karya baru yang ditulis oleh Rohayah.

Barisan pelakon yang akan terbabit dalam teater ini ialah Mardiana Alwi, Misha Omar, Rozita Che Wan, Amy Mastura, Taiyuddin Bakar dan Fara Fauzana.

Siti Rohayah mengakui, pemilihan artis-artis popular dalam teater tersebut adalah untuk menarik perhatian penonton serta penaja.

“Bajet untuk membikin teater bukannya sedikit, ia memerlukan perbelanjaan sebanyak RM800,000.

“Dan syarikat penerbitan kami (CTRA Production) memerlukan bantuan penaja bagi menjayakan teater ini.

“Sebab itu pihak kami menawarkan artis-artis popular menyertainya. Bagaimanapun penekanan kualiti lakonan tetap diutamakan,” ujarnya.

Teater Nyonya & The Gang bakal dipentaskan bermula 14 hingga 20 Jun depan.

Tiket berharga RM35, RM55, RM85 dan RM155 boleh ditempah menerusi ejen tiket www.AirAsiaRedTix.com atau hubungi 017-8716060 dan 012-2977220 untuk keterangan lanjut. – mStar Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails