Tuesday, April 30, 2013

Tanpa babak panas, Mencari Cinta masih menyengat



Tanpa babak panas, Mencari Cinta masih menyengat
Mencari Cinta, lakonan Rusdi Ramli dan Nora Danish.

Tanpa babak panas, Mencari Cinta masih menyengat
Antara babak dalam Mencari Cinta.

BIARPUN dihimpit kontroversi gara-gara tayangan babak panas dalam trailer, siapa sangka, Mencari Cinta mempunyai kekuatan jalan cerita yang tersendiri.

Meskipun kisah jodoh dipertemukan keluarga adalah sebuah kisah klise, namun garapan yang berlainan dari pengarah, Shirin Khuzaimi memberi keistimewaan terhadap filem ini.

Malah, tanpa babak panas, yang sudah dipotong Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF), filem ini masih menyengat dan sebenarnya bakal mengimbau memori pasangan-pasangan yang sudah berkahwin.

Filem ini juga sebenarnya menggalakkan percintaan selepas perkahwinan yang lebih manis berbanding bercinta sebelum berkahwin.

Mencari Cinta membawa penonton melayari kisah Myra Tan Sri Johan yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan Malik, lelaki yang dipilih sendiri, tetapi akhirnya ditinggalkan oleh Malik yang mencintai orang lain.

Perkembangan terbaru ini membawa banyak masalah kepada Tan Sri Johan dan Puan Sri Mahani kerana semua persiapan sudah selesai dan jemputan dihantar.

Pada masa yang sama, seorang budak kampung bernama Razlan Ariffin yang taat dan sopan kepada ibu bapanya dan memiliki ladang warisan baru sahaja putus tunang dengan Mila yang ingin melanjutkan pelajarannya.

Razlan menerima hakikat bahawa dia dan Mila sudah tidak mempunyai perasaan sayang. Nasib menemukan mereka Razlan dengan Myra berdua apabila keluarga Myra merancang perkahwinan mereka berdua.

Plot boleh dijangka

Secara keseluruhan, filem ini bergerak dengan sangat baik dari awal cerita, biarpun kebanyakan babak sudah boleh dijangka.

Namun, permainan Shikin, terutamanya dalam babak romantis melibatkan Myra dan Razlan membuatkan penonton akan setia sehingga penghujungnya.

Bagaimanapun, kehadiran Mila adakalanya dirasakan tidak perlu kerana kisah bekas kekasih kembali mencari kekasih terlalu klise untuk diketengahkan.

Apatah lagi, Mila yang dijayakan oleh Fouziah Gous yang hadir untuk satu babak saja.

Begitu juga dengan babak Razlan menyelamatkan Myra dari kebakaran bangsal di ladang, babak mereka bertentang mata membuatkan ramai penonton mengeluh kerana ia mengingatkan penonton kepada cerita Bollywood.

Gandingan menjadi

Gandingan mantap Nora Danish dan Rusdi Ramli yang menjayakan watak Myra dan Razlan banyak membantu kekuatan filem ini.

Aksi lakonan bersahaja Rusdi sebagai lelaki kampung yang memiliki kesabaran dan sikap lurus banyak mengundang tawa penonton.

Manakala lakonan comel Nora pula pasti akan membuatkan penonton lelaki 'cair' melihat aksinya.

Cuma babak pergaduhan, yang membawa kepada penceraian tidak dibawakan dengan begitu baik. Namun, dari segi permainan emosi, kedua-duanya berjaya.

Justeru, bagi mengetahui keseluruhan jalan cerita, adakah Razlan yang dibesarkan oleh ibu bapa tradisional serasi dengan Myra yang merupakan anak orang kaya dengan gaya hidup moden? Bolehkah mereka jatuh cinta terhadap satu sama lain?

Jangan lupa saksikan filem ini di pawagam.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails