Anda masih ingat lagi program TV yang membincangkan isu-isu berkaitan kaum wanita suatu ketika dulu? Tak mungkin anda yang wanita sudah lupa kerana ia merupakan salah satu program bual bicara yang paling mendapat sambutan sedekad yang lalu.
Dikenali sebagai 3R (Respek, Relaks, Respon), program ini mula diperkenalkan pada tahun 2000 dan kini ia kembali untuk musim yang ke-14.
Pada awal kemunculan 3R, barisan hosnya diterajui oleh Azah Yasmin Yusof (Azah), Rafidah Abdullah (Rafidah), Low Ngai Yuen (Yuen), Kartini Ariffin (Tini) dan Celina Khor (Celina).
Apa yang membuatkan 3R dekat di hati penonton adalah persembahan sketsa mengenai sesuatu isu atau masalah sosial yang dilakonkan semula oleh para hos mampu mengubah persepsi dan memberi solusi kepada para penonton terhadap isu-isu berkaitan sosial.
Seiring dengan usaha untuk memartabatkan kaum wanita khususnya golongan remaja, Penerbit Eksekutif 3R, Datin Paduka Marina Mahathir berpendapat bahawa masih ada segelintir kaum hawa yang belum atau tidak mendapat perhatian oleh sesetengah pihak.
Walaupun kaum wanita merupakan 50% daripada populasi masyarakat Malaysia tetapi golongan ini masih tidak mendapat peluang yang sama rata dalam bidang politik, perniagaan mahupun akademik.
Menurut Lina Tan selaku Penerbit Eksekutif Bersama 3R, program ini berupaya menyediakan platform paling sesuai kepada golongan remaja dan muda terutamanya kaum wanita untuk bertukar pendapat tentang isu-isu yang dipaparkan supaya tidak berlakunya diskriminasi.
Untuk pengetahuan pembaca, 3R akan mula disiarkan di TV3 pada bulan Ogos ini. Episod-episod awal 3R akan dimulakan dengan ‘Projek 3R’ yang memaparkan pemilihan hos baru pada setiap hari Sabtu jam 6 petang bermula 24 Ogos hingga 5 Oktober 2013.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai pencarian hos 3R, anda boleh layari laman web 3R sendiri untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.
Jom lihat gambar-gambar sekitar majlis pelancaran 3R musim terbaru.
0 comments:
Post a Comment