Akim AF Tak Cemburu Kejayaan Rakan Artis
Penyanyi yang mula mencipta nama menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ke 7, Akim Ahmad menyatakan dia tidak berasa cemburu dengan kejayaan yang diraih rakan artis seangkatannya dalam bidang ini.
Sebaliknya dia berasa bangga dengan kejayaan yang diterima mereka kerana sekaligus melenyapkan prasangka orang ramai bahawa artis ‘mee segera’ seperti mereka juga boleh berjaya asalkan sentiasa berusaha keras dalam bidang yang diminati.
“Saya gembira dengan pencapaian teman-teman seperti Stacy, Aizat dan Hafiz yang semakin menyerlah dalam bidang seni. Bagi saya rezeki masing-masing, lagipun segala yang mereka lakukan atas usaha sendiri dan selayaknya mereka memperoleh apa yang ada sekarang,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Walaupun namanya seakan-akan sepi seketika dalam industri, Akim tetap memanjatkan kesyukuran apabila tidak putus-putus menerima undangan nyanyian dalam majlis-majls persendirian.
Selain bergelar penyanyi dan pelakon, Akim juga bakal mengorak langkah menjadi pengacara bagi program mencari bakat pemain bola sepak iaitu TM Mencari Ramli yang disiarkan di TV3 setiap hari Jumaat jam 7.30 malam.
“Bagi saya apa salahnya dicuba selagi peluang ada di depan mata. Sebagai penghibur saya perlu mengembangkan karier saya selagi masih diterima,” katanya yang menambah bidang pengacaraan menuntut dirinya sentiasa lebih bersedia dari segi masa dan fokus yang diberikan terhadap bidang tersebut.
0 comments:
Post a Comment