Lisa – Jovian Berkolaborasi Hasil Koleksi Raya
Memang tidak dapat dinafikan dalam bidang hiburan, golongan selebriti dan pereka fesyen memang saling memerlukan di antara satu sama lain.
Atas inisiatif itu, pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie telah mengundang pelakon yang digelar Malaysian Sweetheart iaitu Lisa Surihani Mohamed untuk berganding bahu menghasilkan rekaan baju raya yang sinonim dengan label fesyen Jovian yang mementingkan eleman elegan dan sofistikated dalam setiap koleksinya.
Ketika ditanya kenapa Lisa yang dipilih, Jovian berkata, “kenapa Lisa? Dia seorang yang disukai ramai. Kita tengok dia lemah lembut tapi dia sebenarnya seorang yang berani dan berdikari. Bersih kontroversi. Pada saya dia seorang wanita yang sangat melambangkan kaum wanita era masa kini, gaya dan caranya bertepatan dengn konsep rekaan-rekaan Jovian Mandagie.
“Sepanjang bekerja dengan Lisa, dia seorang yang jujur. Kalau dia tak suka, dia akan cakap tak suka. Selama lapan tahun dalam industri fesyen, saya sudah banyak berdepan dengan pelbagai ragam pelanggan dari golongan Sultanah, atasan hingga golongan biasa. Jadi Lisa juga saya anggap sebagai salah seorang pelanggan saya. Kami saling bertukar-tukar idea. Tapi banyak keputusan untuk rekaan, Lisa yang tetapkan termasuk dari segi pemilihan warna, jenis kain, motif dan sebagainya. Saya ni cuma tukang jahit je,” katanya kepada Malaysian Digest.
Sebanyak 20 rekaan ditawarkan di mana idea diambil Lisa menerusi wanita-wanita yang berada di sekelilingnya seperti ibunya, Siti Amira, rakan baiknya, Jihan, sepupunya, Noren dan makciknya, Norkiah dan Maznah.
Setakat ini, pelakon kesayangan ramai itu baru menyiapkan enam rekaan dan selebihnya akan diteruskan untuk jualan hari lebaran yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.
0 comments:
Post a Comment