Siti Nordiana Temui Pengganti
SUATU ketika dahulu, nama Siti Nordiana,29, atau lebih dikenali sebagai Nana sangat sinonim bersama pasangan duetnya, Allahyarham Achik Spin.
Gandingan mereka begitu memukau sehingga mendapat jolokan pasangan duet paling popular pada 2000.
Namun di saat mereka kembali untuk bekerjasama, Nana terpaksa menerima hakikat bahawa dia telah kehilangan Achik selama-lamanya apabila rakan duetnya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2010.
Biarpun ketiadaan Achik, namun lagu-lagu duet mereka; Gurauan Berkasih, Memori Berkasih, Mainan Cinta dan Resipi Berkasih, sentiasa segar di ingatan.
Menurut Nana, kenangan manis bersama arwah juga sememangnya sukar untuk dilupakan bahkan dia berasa janggal apabila terpaksa menyanyikan lagu duet mereka secara solo.
“Saya dan Achik mula terkenal apabila kami digandingkan bersama, pastinya kenangan bersama Achik sukar untuk dilupakan kerana dia seorang kawan yang baik.
“Selama 13 tahun kami digandingkan bersama dalam industri seni, memang sukar untuk mencari pengganti seperti arwah,” katanya.
Serasi bersama Alan
Cinta yang menebal dalam bidang nyanyian membuatkan bekas isteri kepada Allahyarham pelakon Faizal Yusof ini mula mencari pengganti teman duetnya. Malah teman barunya yang bernama Alan itu memiliki suara yang hampir sama dengan Achik.
“Memang sekarang saya sudah ada pengganti Achik, tetapi bukanlah secara kekal. Jika anda mendengar suaranya, saling tak ubah seperti suara Achik, tambahan dia adalah peminat kami berdua.
“Alan dan saya berjumpa ketika saya membuat persembahan di sebuah pusat beli-belah di Sungai Buloh Selangor. Hari itu saya menyanyikan lagu Memori Berkasih dan saya jemput mereka yang hadir ke pentas menyanyikan lagu itu bersama saya. Alan naik dan kami terus berduet dan semua yang mendengar suaranya terpegun.
“Sejak itu kami berdua serasi dan saya selalu mengajaknya mengadakan persembahan bersama terutama pada hujung minggu. Sampai ke Labuan, Sabah, saya membawanya. Bagaimanapun, dia tak boleh ikut saya selalu kerana dia bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah.
“Pun begitu, Alan tidak mahu terlalu menonjolkan dirinya kerana dia menyanyi kerana hobi, tidak serius mahu menjadi penyanyi,” katanya.
Agak lama tidak muncul dengan lagu baru, Nana berkata, dia tetap berharap dapat muncul dengan karya baru.
“Sebagai penyanyi, saya perlu hasilkan lagu terbaru, selepas tiga empat tahun masih menyanyikan lagu lama. Tahun ini saya bercadang rakam lagu baru sekurang-kurangnya single.
“Jemu juga apabila pergi show, asyik menyanyikan lagu lama. Sesuai dengan perubahan diri, saya teringin nak buat lagu berkonsepkan Islamik,” katanya.
Dalam pada itu, Nana sempat berkongsi mengenai perniagaan tudung online terbarunya iaitu Adra SNB miliknya sendiri yang mendapat sambutan amat menggalakkan dari pelanggan.
Bukan saingan Achik
Bagi Mohd Noorazlan Shamsuddin, yang lebih mesra dipanggil Alan, dia merasa gembira apabila dapat bergandingan bersama Nana kerana sejak dulu lagi dia sangat meminati Achik dan Nana.
“Saya begitu gembira apabila diberi peluang untuk berduet bersama Nana.
Sejak kemunculan mereka saya memang minat dengan lagu mereka.
“Saya pun tidak menyangka niat saya untuk berduet dengan Nana tercapai ,”katanya.
Tambah Alan, dia juga tidak berniat untuk menggantikan arwah Achik , malah saya menyanyi bersama Nana hanya sekadar hobi dan tidak berniat untuk serius dalam industri hiburan tanah air.
“Suara dimiliki Achik tiada tandingan, mungkin gandingan untuk saya bersama Nana hanya kebetulan,” katanya. – Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment