Wednesday, May 22, 2013

Siti Nurhaliza Tak Rasa Hilang Nilai Eksklusif

Siti Nurhaliza


Siti Nurhaliza Tak Rasa Hilang Nilai Eksklusif


Akhir-akhir ini, penyanyi nombor satu negara dilihat kerap muncul di khalayak ramai terutamanya bagi mempromosikan produknya, Simplysiti. Selain daripada turun padang bagi sesi berjumpa peminat di beberapa buah lokasi di seluruh negara, Siti juga sibuk menghadiri pelbagai acara berkaitan kerjayanya seperti pelancaran muzik video ‘Galau’ serta rakaman program raya di RTM. Tidak seperti sesetengah selebriti yang membataskan kemunculan mereka, Siti positif dengan usaha yang dilakukannya.

“Saya melihat dari sudut perniagaan. Saya tak rasa bila selalu jumpa peminat nilai eksklusif itu akan hilang. Sebaliknya, ia akan membuat mereka semakin dekat dengan saya. Saya rasa ia tak sedikit pun mengganggu populariti seseorang artis. Apabila kita selalu turun padang jumpa mereka, peminat lagi seronok sebab dapat jumpa kita sendiri,” ujar Siti yang percaya kerja keras merupakan antara kunci kejayaan.

Menurut pelantun lagu ‘Cindai’ ini, kesempatan ini diambilnya berikutan keadaan kesihatan suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K yang semakin beransur pulih.

“Lagipun penglibatan saya dalam sesi promosi ini bukan sahaja untuk bertemu dengan mereka yang selama ini dah banyak menyokong kerjaya seni saya. Tetapi saya juga bertugas sebagai ‘salesgirl’. Saya dapat kongsi tip kecantikan, tip solekan dan cerita sendiri keistimewaan produk SimplySiti. Kali ini kami banyak ke lokasi yang tak pernah dikunjungi sebelum ini dan ini merupakan peluang terbaik untuk kita dapatkan maklumbalas dari peminat dan pengguna Simplysiti di sana,” jelas pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Taruddin ini.

Menurut Siti, sambutan yang diberikan pengunjung di setiap lokasi promosi amat menggalakkan sehinggakan ada lokasi seperti Watson’s terpaksa ditutup gara-gara tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang terlalu ramai. Bagi Siti ia adalah petanda baik produknya mula mendapat tempat di hati pengguna kosmetik tanah air.

Dek sibuk dengan pelbagai aktiviti melibatkan promosi SimplySiti dan kerjaya seninya, hasrat awalnya untuk mengambil cuti panjang terpaksa ditangguhkan. Namun begitu, Siti merancang untuk melancong di dalam negara tidak lama lagi.

Mengulas mengenai keadaan kesihatan suaminya, Siti memberitahu dia bersyukur ke hadrat Illahi atas perkembangan kesihatan Datuk K yang semakin baik.

“Alhamdulillah. Saya gembira melihat keadaan suami yang semakin sihat dan pulih dari kecederaan. Saya rindu nak bersenam dan ‘kickboxing’ bersamanya. Syukur, semangat Datuk K ini kuat dan apabila perkara berkaitan kesihatan ini, di cukup berdisiplin. Makan pun dia dah boleh suap sendiri. Kalau dulu, bila saya suap dia sekali, dia suruh saya makan juga. Sudahnya, saya makan dua suap. Itu yang badan makin sihat,” seloroh Siti.

Sumber: gua.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails