‘Terima Perubahan Saya Secara Perlahan-Lahan’
KUALA LUMPUR – Aktres Lisdawati berharap peminat tidak terlalu mengharap dia akan terus menjadi seorang muslimah yang sejati selepas mengambil keputusan untuk memakai tudung kira-kira tiga minggu lalu.
Lisdawati berkata, sebagai manusia biasa masih banyak perkara yang perlu diperbaikinya dan menutup aurat adalah salah satu proses peralihan dalam hidupnya.
“Tidak bererti apabila saya sudah memakai tudung saya seorang yang baik dalam semua perkara tetapi ini adalah satu proses penghijrahan yang mempunyai perjalanan yang masih panjang.
“Terimalah perubahan yang saya lakukan ini dengan perlahan-lahan dan jangan terus menghukum saya sekiranya saya ada melakukan kesalahan kerana perjalanan untuk menjadi insan yang sempurna itu bukan mudah dan masih panjang,” katanya.
Lisdawati ditemui pada majlis Amazing Red di The Weld di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Lisdawati berkata, dia sudah berhasrat untuk memakai tudung sejak dua tahun lalu apabila pulang daripada mengerjakan ibadah Umrah.
Bagaimanapun kata Lisdawati, hasrat itu dipendam kerana tidak mahu terburu-buru tetapi mula melakukan perubahan dengan lebih berhati-hati memilih pakaian yang lebih tertutup dan berlengan panjang.
“Saya sudah merancang untuk memakai tudung sejak dua tahun lalu selepas pulang daripada mengerjakan Umrah tetapi hasrat itu dipendamkan dan tidak mahu terburu-buru melakukan perubahan.
“Bagaimanapun sejak itu saya mula berubah secara perlahan-lahan dengan memilih baju berlengan panjang selain memilih fesyen yang lebih sesuai.
“Alhamdulillah pada 1 Rejab lalu saya terus terbuka hati untuk bertudung namun saya tidak dapat berkongsi apakah sebabnya saya berbuat demikian pada tarikh berkenaan kerana ia adalah rahsia Allah,” jelasnya.
Tambah Lisda, walaupun suaminya, pelakon Fauzi Nawawi agak terkejut dengan keputusan itu namun tetap gembira dan memberi sokongan dalam perubahannya itu.
Sementara itu, Lisdawati berkata, dia akan terus berlakon seperti biasa dan bersyukur kerana dia masih mendapat tawaran daripada syarikat produksi.
“Saya tidak percaya dengan menutup aurat rezeki berlakon akan hilang kerana percaya rezeki itu ditangan Allah. Selagi kita berusaha Insya Allah ia pasti milik kita,” katanya.
Dia memberitahu baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah drama berjudulDari Asar Ke Maghrib lakonan bersama Maimun Mutalib. – mStar Online
0 comments:
Post a Comment