Hati Noniswara Sudah Tertutup Buat Suami
PETALING JAYA – Pelakon Noniswara mengakui hatinya sudah tertutup buat suaminya, Datuk Rosman Ridzwan dan tetap dengan keputusannya untuk berpisah dan sudah bersedia memulakan hidup baru.
Nonis atau nama sebenarnya Noniswara Baharuddin, 46, berkata, dia yakin dapat hidup dengan lebih tenang tanpa kehadiran lelaki itu dan berharap kes berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.
“Hati saya sudah tertutup rapat dan saya sudah bersedia untuk memulakan kehidupan baru tanpa dia. Tambahan pula hampir setahun ini pun kami sudah tidak tinggal bersama dan menjalani kehidupan masing-masing,” katanya kepada mStar Online.
Pada 9 Mei lalu Nonis telah menfailkan permohonan bercerai secara taklik di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur selepas gagal mendapat kerjasama Rosman untuk bercerai secara baik.
Mahkamah juga memutuskan untuk meneruskan kes tersebut pada 18 Jun depan sekiranya Rosman masih gagal untuk tampil ke mahkamah.
Sementara itu, Nonis menegaskan dia tidak mahu mengambil tahu tentang cakap-cakap yang mengaitkan suaminya itu dengan wanita lain dan menganggap ia bukan lagi urusan peribadinya.
“Dia bebas untuk berkawan dengan sesiapa pun dan biarlah dia dengan kehidupannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nonis berkata, dia tidak serik dengan kegagalan rumah tangganya namun enggan bercakap mengenai soal pengganti buat masa ini.
Tegasnya, dia mahu hidup berdikari selain memberi keutamaan kepada anak-anak dan kerjaya seninya.
“Ada yang cuba bertanya tentang status sekarang tetapi belum masanya dan biarlah saya hidup sendiri dan berdikari,” jelasnya.
Nonis dan Rosman telah mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009.
Pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu. – mStar Online
0 comments:
Post a Comment