Monday, June 3, 2013

Izzue Islam Mahu Segera Dapat Cahaya Mata

Izzue Islam


Izzue Islam Mahu Segera Dapat Cahaya Mata


SHAH ALAM – Pelakon dan anggota kumpulan Forteen, Izzue Islam mahu sudah bersedia untuk bergelar bapa dan berharap akan dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammadd Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, walaupun usianya masih muda dia yakin dapat menjadi seorang bapa yang baik dan kehadiran anak itu akan mematangkannya sebagai seorang lelaki.

“Jika rezeki diberi awal memang saya mahu segera mempunyai anak dan sudah bersedia untuk bergelar seorang bapa tambahan pula anak itu nanti akan memberi berkat dan menyerikan rumah tangga kami” ujarnya kepada mStar Online.

Pada Ahad lalu, Izzue selamat bergelar suami kepada pengurusnya sendiri iaitu Nurinafilah Waharudin apabila kedua-dua mereka diijabkabulkan dengan sekali lafaz.

Izzue dan Nurinafilah atau Awin, 31, dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Waharudin Jonit, 58, dan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Masjid Negeri Selangor, Khairuddin Haiyon kira-kira pukul 9.45 pagi di Dewan Shah Alam di sini.

Dalam pada itu, Izzue berkata, sikap Awin yang bijak, memahami dan tegas telah menambat hati lelakonya kepada wanita berkenaan dan bersyukur hubungan yang terjalin selama enam tahun itu berakhir ke jinjang pelamin.

Jelas Izzue, dia telah mengenali Awin sebelum bergelar artis dan isterinya itu telah bersama-samanya mengharungi suka duka sepanjang tempoh itu.

“Dia seorang yang tidak mudah putus asa malah sangat penyayang, penyabar dan pemaaf. Sudah pelbagai perkara kami harungi sepanjang enam tahun ini dan dialah orang yang sentiasa bersama saya sehingga ke tahap ini.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan Awin sebagai isteri dan ini adalah hadiah hari jadi yang terbaik pernah saya terima,” katanya.

Sementara itu, Izzue berkata, isterinya itu akan terus menguruskan kariernya seperti biasa dan selesa diuruskan oleh Awin.

Malah katanya, pergerakan mereka akan menjadi lebih mudah dan tidak akan dipandang serong oleh masyarakat.

“Walaupun isteri saya mempunyai kerja tetap tetapi dia akan terus menguruskan kerjaya saya kerana selesa begitu,” katanya.

Ditanya mengenai soal berbulan madu, Izzue bagaimanapun masih belum merancang untuk berbuat demikian kerana terikat dengan penggambaran drama pada minggu hadapan. – mStar Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails