Linda Lakukan Solat Sunat Sebelum Kahwin
PETALING JAYA – Aktres Linda Hashim banyak melakukan solat sunat hajat dan taubat menjelang detik terindah pernikahannya dengan pelakon Beego yang dijadualkan pada 7 Jun depan.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 29, berkata, dia mendoakan agar majlis itu nanti akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah mengikut perancangan.
“Sebagai persiapan diri, saya banyak buat solat sunat taubat dan hajat. Sebagai manusia biasa kita banyak melakukan kesilapan dan kalau boleh perkara baik ini Allah akan memudahkannya ,” kata Linda kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Majlis akad nikah Linda dengan Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah, 33, akan diadakan di Masjid Usamah Bin Zaid, Seksyen 2, Wangsa Maju pada 7 Jun ini selepas solat Isyak.
Manakala majlis resepsi kedua-dua mempelai pula akan diadakan sehari selepas itu di Dataran Karyawan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang dekat sini bermula pukul 8 malam.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 3 November 2012.
Dalam pada itu Linda berkata, dia banyak menjaga pemakanan dan mengambil vitamin tambahan bagi menjaga kesihatannya menjelang majlis tersebut.
“Saya takut kalau demam atau sakit pada hari itu nanti, jadi saya jaga pemakanan dan ambil vitamin tambahan untuk tambah tenaga.
“Selain itu, saya juga lebih berhati-hati kerana orang tua-tua kata nak jadi pengantin baru, ‘darah manis’ tapi terpaksa jugalah keluar buat apa yang patut,” ujarnya.
Tambah Linda, penyanyi veteran Indonesia iaitu Endang S.Taurina telah mengesahkan untuk hadir pada majlis resepsi persandingan mereka selain bersedia untuk membuat persembahan menghiburkan tetamu. – mStar
0 comments:
Post a Comment