Zizan Sering Dibayangi Johan
NAMA Mohd Razizan Abdul Razak atau Zizan Razak kini bukanlah asing dalam industri seni tempatan. Mula menarik perhatian ramai menerusi gandingannya bersama Johan sebagai pengacara Raja Lawak musim kedua hingga kini, Zizan terus mendaki tangga populariti tahun demi tahun.
Namun, popularitinya itu dikatakan sering dibayangi dengan kehadiran Johan dan ada pihak yang berbisik nakal bahawa populariti yang dikecapi Zizan sekarang adalah kerana tempias Johan.
Menangkis tanggapan sesetengah pihak kepadanya, Zizan berkata, biarpun dia sering digandingkan bersama Johan, namun dari segi kerja dan populariti mereka berdiri di atas kaki sendiri tanpa tempias diri masing-masing.
“Zizan adalah Zizan dan Johan adalah Johan. Kami tidak pernah menumpang sesiapapun. Cuma rezeki dan tawaran sering kali datang buat kami dan banyak pihak suka kami digandingkan, kerana itu saya dan Johan banyak bekerjasama.
“Tapi dalam masa sama, kami masih menerima tawaran berasingan,” ujarnya kepada Zass.
Tercalon dalam kategori Hero Terhebat Anugerah Blockbuster 2 bersama Johan, Zizan berkata, dia tidak pernah mengharapkan sebarang kemenangan apatah lagi mengimpikan untuk bersaing dengan rakan baiknya itu.
“Anugerah sebegini kita tidak boleh jangka siapa yang akan menang dan saya sendiri tidak pernah meletakkan target saya akan memiliki trofi itu, biarpun menerusi majlis sebuah anugerah berprestij sebelum ini saya yang terpilih dari senarai Top5.
“Tapi itu tidak menjamin untuk saya sekali lagi untuk memenangi dalam anugerah Blockbuster pula.
“Lagipun ramai lagi pelakon yang lebih hebat untuk membawa trofi itu. Mungkin Johan, mungkin juga orang lain,” ujarnya.
Siapa di hati Zizan?
Dalam pada itu, semenjak menyambut ulang tahun yang ke-29, April lalu, teka-teki mengenai gadis yang berjaya bertakhta di hati Zizan masih lagi menjadi tanda tanya.
Apatah lagi, Zizan mengatakan wanita tersebut cukup istimewa di hatinya dan wanita tersebut juga menghadiahkan iPhone 5 buat Zizan.
Di tebak sekali lagi mengenai gerangan wanita tersebut, Zizan menjelaskan: “Sebenarnya saya tidak bercinta dengan sesiapa. Pada waktu itu saya mungkin terlalu teruja bercerita sehingga keluar cerita itu.
“Ingin saya jelaskan sekali lagi, saya hanya meminati dia dan dia sendiri tidak tahu saya menyukainya. Jadi bagaimana mahu dikategorikan sebagai bercinta.
“Berhenti buat sebarang spekulasi, tiba masanya saya sendiri akan berkongsi siapakah gerangan wanita yang akan menjadi isteri saya.”
Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Zizan berkata, dia kini hanya menumpukan kerja sebagai pengacara Raja Lawak musim ketujuh.
Katanya, dia kini baru sahaja selesai menjalani penggambaran Abang Long Fadhil arahan Syafiq Yusof dan akan kembali aktif berlakon sebaik tamat Raja Lawak nanti. - Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment