Showing posts with label artis kahwin. Show all posts
Showing posts with label artis kahwin. Show all posts

Friday, November 25, 2011

Chef Wan Taja Majlis Perkahwinan Dan Berbulan Madu Chef Riz


Chef selebriti, Datuk Redzuan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan bakal menaja majlis perkahwinan anak lelaki tunggalnya, Mohd Nadzri Redzuwan (chef Riz).

Chef Wan menerusi status di laman Facebook miliknya memberitahu, dia juga akan menaja pakej berbulan madu untuk pasangan pengantin baru itu selama seminggu tetapi masih merahsiakan destinasi sebagai kejutan.

"Dia hanya perlu mengeluarkan wang untuk hantaran, wang hantaran pada pihak perempuan selain mas kahwin dan cincin untuk bakal isterinya.

"Selebihnya saya akan uruskan sebagai hadiah untuk anak lelaki tersayang," ujarnya menerusi status tersebut.



Dalam pada itu, Chef Wan memberitahu, dia menaja perkahwinan anaknya itu tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

"Falsafah hidup saya adalah untuk menjadi pemurah kepada insan yang kita sayangi. Saya tidak mahu menyesal di kemudian hari kerana tidak dapat melakukan sesuatu untuk orang yang saya sayang.

"Walaupun rezeki yang kita dapat sedikit, kongsi sedikit dengan keluarga sebagai tanda kasih sayang dan hormat kepada mereka," ujarnya.

Chef Riz,30 dan pelakon Ana Dahlia, 28, akan melangsungkan pernikahan pada 11 Disember depan yang akan diadakan di rumah keluarga Ana di Changkat Jering, Taiping, Perak.

Manakala majlis resepsi di sebelah pihak lelaki akan berlangsung di Sungai Koyan, Raub Pahang pada 18 Disember.

Wednesday, November 23, 2011

Adibah Noor Nekad Tidak Mahu Berkahwin


PETALING JAYA: Penyanyi bersuara lantang, Adibah Noor, 41, nekad tidak mahu berkahwin kerana serik untuk bercinta lebih-lebih lagi dia pernah putus kasih sebanyak lima kali.

Adibah berkata, pengalaman pahit itu membuatkan penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa itu tidak sanggup melalui masalah yang sama lagi.

"Bayangkan, lima kali saya putus cinta dan semua tak mahu berkahwin dengan saya. Dan sejujurnya, saya serik dan tak mahu kahwin.

"Dengan usia sebegini, lebih baik saya jaga diri sendiri serta keluarga dan fokus pada kerjaya seni. Alhamdulillah, keluarga tidak pernah mendesak, malah mereka faham dengan apa yang saya inginkan," katanya.

Tambah Adibah, sejak berstatus solo, dia mula membela kucing dan kini mempunyai hampir 20 ekor, malah binatang peliharaan kesayangannya itulah yang menjadi penghibur di rumah.

Bukan sekadar kucing, Adibah juga merasakan hidupnya cukup sempurna walaupun tanpa lelaki bernama suami di sisi kerana mempunyai teman-teman rapat yang sentiasa bersamanya ketika susah dan senang.

"Saya mempunyai sekumpulan rakan perempuan yan masih lagi bujang dan kami telah berjanji untuk menjaga antara satu sama lain.

"Selain keluarga, mereka inilah yang sentiasa bersama saya ketika susah dan senang. Bagaimanapun, saya tidak menolak sekiranya takdir telah menentukan jodoh saya," ujarnya.

Dalam pada itu, walaupun dia sering menghiburkan pasangan-pasangan pengantin dengan membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan, hal itu tidak pernah menjadi satu emosi untuknya.

Malah, Adibah telah menghasilkan sebuah lagu baru khas buat pasangan yang bergelar 'Raja Sehari' berjudul Ke Sana Denganmu, dengan menampilkan rakan duet, Sam (Innuendo).

"Lagu tersebut akan menjadi single terbaru saya dan ia sebenarnya dihasilkan kerana saya kerap diundang menyanyi di pelbagai majlis perkahwinan dan seperti biasa, lagu-lagu sama sahaja yang dinyanyikan.

"Justeru itu, saya ambil inisiatif, apa salahnya kalau saya muncul dengan lagu baru khas buat pasangan pengantin pula. Kemudian, selepas muncul idea itu, saya menghasilkan lirik disamping Aznan Abu Hassan yang menghasilkan lagunya," Kata Adibah.

Sementara itu, Adibah bakal muncul sebagai pengacara program Fab Skuad bermula 26 November ini, setiap Sabtu, pukul 7.30 malam menerusi saluran TV3.

Fab Skuad merupakan sebuah program baru yang memaparkan sebuah pasukan skuad khas yang membantu surirumah atau wanita yang bekerjaya membersih dan menguruskan kediaman mereka.

Tuesday, November 22, 2011

Ezlynn Sah Isteri Adam Fahmi

 


KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, penyanyi Ezlynn yang popular dengan lagu berjudul Hi Hi Bye Bye sah bergelar isteri kepada pengurusnya, Adam Fahmi, 35 dalam satu upacara pernikahan yang diadakan di Sime Darby Convention Centre, di sini, Ahad.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Ariffin Alang kira-kira pukul 5 petang dengan mas kahwin sebanyak RM 80.

Ia turut disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakan terdekat pasangan pengantin.

Pada majlis tersebut, Ezlynn atau nama sebenar Azline Ariffin, 30, menerima wang hantaran berjumlah RM 20,020.20 dengan lima dulang hantaran, manakala, pihak Adam Fahmi menerima tujuh dulang hantaran.

Pasangan dua merpati sejoli ini berpakaian sedondon rona putih rekaan Oscar Jeprey, manakala solekan nurul Shukor.

Terdahulu, majlis pertunangan diadakan sebelum majlis pernikahan kira-kira pukul 3.50 petang, Ahad.

Sementara itu, majlis resepsi perkahwinan pasangan ini akan diadakan pada Januari tahun depan dengan berkonsepkan Arab serta Inggeris.

Monday, November 21, 2011

Shera Sah Bergelar Isteri Zahiril Adzim


PERAK: Dengan sekali lafaz, pelakon Zahiril Adzim, 27, sah bergelar suami kepada pengacara Shera Aiyob, 25, di rumah pengantin perempuan di Ipoh, Perak.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Aiyob Shaharuddin kira-kira pukul 1.30 pagi dengan mas kahwin sebanyak RM1 001.

Ia turut disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakan terdekat pasangan pengantin.

Pada majlis tersebut, Shera menerima wang hantaran berjumlah RM18,000 dengan 11 dulang hantaran, manakala, pihak Zahiril menerima 13 dulang.

Pasangan dua merpati sejoli ini berpakaian sedondon rona putih rekaan Hatta Dolmat, manakala solekan Nadiya Ipoh dengan tema perkahwinan dalam taman.

Pasangan ini akan disandingkan di Kinding Hills Grand Ballroom, Ipoh selepas selesai majlis pernikahan.

Sebuah lagi resepsi iaitu majlis sambut menantu sebelah pihak lelaki akan diadakan di Shah Alam yang hanya dihadiri oleh keluarga dan saudara-mara terdekat.

Pasangan ini bertunang pada 1 Mei lalu.
Related Posts with Thumbnails