Friday, May 28, 2010

Beruniform ke kafe siber



KUALA LUMPUR: Kerana ingin mengaut keuntungan, ada pengusaha kafe siber di ibu kota membenarkan pelajar yang berpakaian seragam sekolah memasuki premis perniagaan mereka walaupun menyedari ia menyalahi undang-undang.




Tinjauan di beberapa kafe siber mendapati premis berkenaan membenarkan pelajar yang memakai uniform sekolah memasuki premis itu sewenang-wenangnya.


Tinjauan di kafe siber di Jalan Ipoh di sini, jam 1 tengah hari hingga 2 petang, baru-baru ini mendapati kebanyakan pelanggan mereka terdiri daripada pelajar dengan majoritinya memakai pakaian seragam sekolah menengah.


Ketika tinjauan, kebanyakan pelajar asyik bermain permainan video dengan ada antara kafe siber mengenakan bayaran RM2 satu jam. Tidak ketinggalan, mereka turut menawarkan pakej istimewa dengan harga RM5 (tiga jam), RM7 (lima jam), RM8 (lapan jam) dan RM10 untuk 10 jam.


Difahamkan, terdapat lima sekolah iaitu masing-masing dua sekolah menengah dan tiga sekolah rendah di kawasan berkenaan. Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai P K Chong, 38, berkata, hampir setiap hari dia melihat pelajar yang memakai seragam sekolah memasuki kafe siber sama ada berkumpulan mahu pun seorang diri.


Menurutnya, seawal jam 10 pagi kafe siber terbabit dikunjungi pelajar sekolah. Ada kalanya, mereka berkumpul di depan kafe siber sebelum memasuki pusat Internet berkenaan.


“Saya sering melihat pelajar keluar dan masuk ke dalam kafe siber terbabit. “Ada antara kafe siber terbabit pernah diserbu polis dan pihak sekolah, tetapi semuanya bersifat sementara apabila mereka terus membenarkan pelajar yang memakai seragam sekolah memasuki premis mereka,” katanya.


Chong berkata, isu ini tidak sewajarnya dipandang ringan dengan pemantauan pihak berkaitan perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya tidak menimbulkan gejala sosial pada kemudian hari.


Malah, katanya, kehadiran mereka bukan hanya membuang masa, tetapi membazir wang memandangkan kebanyakan mereka menghabiskan masa bermain permainan video dengan ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak mereka.


Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihak kafe siber tidak sewajarnya hanya mengutamakan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira tanggungjawab mereka kepada masyarakat.


Beliau berkata, isu pelajar memakai seragam sekolah memasuki kafe siber tidak seharusnya berterusan kerana ia memberi kesan buruk kepada pelajar.


p/s : teringat masa muda-muda dulu...cc je menjadi tempat pilihan..hehe :)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails