Wednesday, November 23, 2011

Monoloque Akhirnya Bawa Halimunan Abad Ke-21 Jejak Tanah!


Penangan lagu ‘Kekanda Adinda’ duet bersama Atilia nyata memberi kesan kepada karier Monoloque yang pada asalnya direformasi daripada sebuah band yang dijulang lokomotif persada Indie suatu ketika dulu sehingga berjaya meniti di bibir para pendengar di serata negeri.

Namun tidak mahu dikenali sebagai ‘kekanda’ sahaja di mata ramai, Monoloque akhirnya tampil menghadiahkan ‘Jejak Tanah’ album debut dalam siri trilogi ‘Hikayat Halimunan Abad Ke-21′ buat para peminat yang telah sekian lama menanti ‘produk’ mereka.

Menyedari tempoh dua tahun untuk menyiapkan album agak lama, Khairil Annuar Ridzwan Alias atau senang disapa Loque menyatakan, album debut itu sebenarnya tidak mengambil masa yang lama untuk dirakamkan, cuma proses pengumpulan material, pembentukan identiti dan ciri-ciri bunyian Monoloque yang perlu disebatikan dan disepadukan mengambil masa selama dua tahun.

“Ia termasuklah proses transformasi daripada projek solo kepada mereformasikan sebuah kumpulan yang melalui proses keluar masuk anggota sehinggalah ia benar-benar lengkap,” ujar Loque ketika ditemui pada majlis pelancaran album debut mereka di Hard Rock Cafe, petang semalam.

Istimewanya lagi, album sulung band yang dianggotai empat musisi hebat iaitu Ijoo (gitar utama), Loko (dram, suara latar), Dax (bass, perkusi), Apex (gitar) serta Loque selaku vokal dan gitar utama ini turut menampilkan kolaborasi dengan Azlina Aziz menerusi lagu berjudul ‘Batu Belah Batu Konkrit’.

Jelas Loque lagi, kemunculan Azlina berperanan sebagai watak ‘bonda’ dalam album tersebut. Selain memiliki kelunakan suara lunak yang unik, Loque tanpa berselindung mengakui memilih punya alasan tersendiri.

“Kalau diamati dengan teliti, karya kami dalam album ini sememangnya banyak menyuntik pengaruh elemen Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham R.Azmi dan ramai lagi pemuzik era klasik,”

“Pemilihan Azlina adalah kerana darah seni yang diwarisi daripada ibu dan bapanya yang cukup hebat ketika zaman kegemilangan muzik dan filem sebelum merdeka. Justeru kami ingin abadikan sesuatu istimewa dalam album sulung ini,” tambah Loque lagi.

Berintipatikan ‘cinta’ dan ‘batu’, album ini memuatkan lapan buah lagu bikinan Loque sendiri. Selain ‘Batu Belah Batu Konkrit’, ia turut memuatkan lagu-lagu seperti ‘Gurindam Hutan Batu’, ‘Cinta’, ‘Hapuskan Air Di Matamu’,'Tiada Kata Secantik Bahasa’,'Penghormatan Terakhir’ serta lagu hits, ‘Kekanda Adinda’.

Foto: Diambil daripada laman Facebook Rasmi Monoloque / Rupa Jiwa Studio
sumber : OhBulan

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails