Tuesday, November 22, 2011

Syamsul Harap Kemenangannya Bawa Kebaikan


PUTRAJAYA: Pemenang anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia 24, Syamsul Yusof, 26, menerusi filem KL Gangster, berharap kemenangannya akan memberi kebaikan kepada industri filem tempatan.

Jelasnya, dia berharap filem-filemnya bukan sahaja dapat membantu perkembangan dunia perfileman tanah air malah memberi mesej yang baik kepada masyarakat.

"Sebelum datang ke sini, saya berdoa jika saya menang biarlah kemenangan saya ini memberi manfaat pada industri, jika tidak, biarlah saya tidak menang.

"Saya tidak berharap kemenangan kerana pada saya sudah tercalon itu sudah cukup baik," ujarnya selepas majlis Festival Filem Malaysia 24, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, Ahad.

Tambah Syamsul, kemenangan tersebut juga ditujukan kepada bapanya Datuk Yusof Haslam yang banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan selama ini.

"Saya berterima kasih kepada ayah kerana mengajar saya dari kecil tentang filem dan sekarang baru saya faham apa yang dia maksudkan dulu.

"Saya faham kenapa dulu ayah sering tidak puas hati walaupun saya sudah buat yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu, dia berkata kemenangan tersebut turut dibantu oleh orang yang berada sekelilingnya selama ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails