Aaron Enggan Mengacara Secara Langsung
PETALING JAYA – Pelakon Aaron Aziz enggan mengambil sebarang tawaran mengacara program berbentuk siaran langsung kerana mengalami masalah stage fright iaitu takut berada di atas pentas, berdepan dengan orang ramai.
Aaron berkata, walaupun sudah 13 tahun bekerja dalam industri seni tanah air, dia masih lagi mempunyai sikap pemalu untuk melakukan sesuatu di depan orang ramai dan pada masa sama resah apabila berdepan dengan kamera secara langsung.
“Memang diakui saya seorang yang ada masalah stage fright dan lebih senang dengan kerja-kerja lakonan berbentuk rakaman.
“Begitu juga dengan pengacaraan, saya tidak akan menerima tawaran mengacara secara langsung. Boleh resah dibuatnya,” selorohnya.
Aaron ditemui pada Majlis Tayangan Episod Kemuncak Fear Factor Selebriti Malaysia di The Square, Publika, di sini pada malam Sabtu.
Fear Factor Selebriti Malaysia dihoskan oleh pelakon Aaron dan mula menemui penonton sejak 29 Disember lalu.
Tambah Aaron, bagaimanapun buat sementara ini dia hanya mengacarakan Fear Factor yang mungkin akan disambung musim seterusnya pada tahun depan dan enggan mengambil sikap terburu-buru dalam memilih tawaran yang diberi sekiranya ada.
“Buat masa ini, cukup untuk Fear Factor dahulu. Bukan mudah untuk mengacara, seperti dalam program realiti ini, saya perlu faham dan perjelaskan setiap peralatan yang digunakan peserta kepada penonton.
“Bagi saya banyak latihan yang diperlukan untuk menjadi pengacara yang bagus dan biarlah saya tumpukan pada lakonan sahaja,” tuturnya.
Dalam pada itu, Aaron juga menerima segala kritikan daripada penonton sepanjang mengendalikan program tersebut dan menganggap ia sebagai satu pelajaran untuknya mengacara dengan lebih baik.
“Diakui memang saya menerima pelbagai respons tentang pengacaraan saya sama apa yang baik atau buruk. Dan tidak kisah dengan kritikan itu.
“Malah segala kritikan yang diberi saya ambil serius dan mengubah cara pengacaraan agar jadi lebih baik,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Aaron kini sibuk mengarahkan sebuah filem berjudul Romeo Pota di bawah terbitan syarikat miliknya iaitu Aaron Aziz Production. – mStar Online
0 comments:
Post a Comment