Monday, April 15, 2013

Adegan berani: Nora Danish tahu batasan



Nora Danish
Nora Danish

Keberanian Nora Danish menjayakan beberapa babak 'daring' dalam lakonannya ternyata tidak disenangi oleh peminat dan masyarakat keliling.

Rata-ratanya mempersoalkan kewajaran dan tindakan Nora hanya kerana trailer filem terbarunya, Mencari Cinta, yang memaparkan satu babak adegan berahi antaranya dan Rusdi Ramli dimuat turun di internet.

Tidak melatah, merajuk atau kesal, Nora mengakui sudah lali dengan kontroversi sebegitu setelah beberapa pihak mempersoalkan keberaniannya menjayakan babak romantis bersama Adi Putra dalam filem Aku Terima Nikahnya sebelum ini.

Ujar Nora, sebagai pelakon, dia sentiasa memikirkan relevan sesuatu babak yang dijayakannya dan tahu batasan-batasan dalam melakukan adegan tersebut.

"Saya bukannya benar-benar berbogel dan hanya kerana teknik dan sudut kamera, ia kelihatan seperti saya berbogel.

"Lagipun saya menjayakan watak sebegitu kerana tuntutan dan kesesuaian watak serta jalan cerita tersebut. Ia berkisarkan nikmat bercinta selepas berkahwin, tetapi saya dan Rusdi tidaklah melebih-lebih," ujarnya yang ditemui ketika sesi tayangan Mencari Cinta bersama media, baru-baru ini.

Mengulas mengenai kritikan daripada penonton, Nora berkata, dia tidak pernah menonton trailer itu dan tidak mengambil hati dengan apa yang diperkatakan.

"Saya harap mereka tonton filem ini terlebih dahulu dan fahami jalan ceritanya sebelum memberi sebarang komen," katanya.

Kasihankan Rusdi

Menurut Nora atau nama sebenarnya, Nora Danish Mohd Hanif, 31, dia berasa kasihan terhadap Rusdi Ramli yang turut sama terheret dengan kontroversi itu kerana tidak pernah mengalaminya sebelum ini.

"Walaupun Rusdi adalah pelakon senior, tetapi rasanya dia belum pernah lagi terhimpit dengan kontroversi sebegini berbanding dengan saya.

"Jadi saya harap semua pihak memberi ruang untuknya bersendirian sehingga isu tersebut reda. Saya percaya dia terkejut dan tidak tahu nak buat apa-apa sehinggakan dia tidak hadir ke majlis tayangan perdana filem ini pada Khamis lalu," katanya.

Nora berkata, dia agak berdebar kerana pertama kalinya digandingkan bersama Rusdi dan menyifatkan Rusdi seorang pelakon yang berkaliber.

"Abang Rusdi ini jenisnya, kalau apa yang perlu dibuat itu tidak ada kena mengena atau tidak bersesuaian dengan jalan cerita, dia tidak akan buat. Dia juga sangat mudah dibawa berbincang dan saya amat senang bekerjasama dengannya," katanya yang menjayakan watak Myra, seorang gadis bandar yang tiada pegangan agama.

Hajatnya untuk berkahwin dengan kekasihnya pula tidak kesampaian dan akhirnya dipaksa berkahwin dengan pemuda kampung yang dilakonkan oleh Rusdi.

Pengarah kesal

Sementara itu, pengarah filem Mencari Cinta, Shirin Khuzaimi menyifatkan Rusdi seorang yang tidak profesional kerana gagal menghadiri majlis tayangan perdana filem tersebut yang berlangsung di e@Curve, Khamis lalu.

“Ketidakhadirannya membuatkan saya menganggap ketidakpuasan daripada pihak dia. Saya juga kecewa dengan kenyataan yang diberikan kerana bagi saya, sebagai seorang pelakon lama dan versatil, dia harus terima dengan positif,” ujarnya.

Dalam pada masa sama, Shirin mengakui terkilan dengan sikap masyarakat yang membuat kesimpulan sebelum menonton filem itu terlebih dahulu.

“Adegan tersebut merupakan salah satu babak sepasang suami isteri berborak di atas katil namun masyarakat sudah membuat andaian mereka tersendiri hanya dengan menonton trailer. Saya harap orang ramai tidak hanya memandang dari sudut negatif tetapi turut melihat dari pandangan positif juga,” katanya.

Ujarnya, sebagai pengarah, dia hanya ingin menekankan elemen kasih sayang yang terjalin antara karakter yang dilakonkan oleh Rusdi dan Nora, iaitu mengenai keindahan perasaan cinta yang wujud selepas berkahwin.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails