Naque Ariffin dan Benjy sedang menjalani latihan untuk pementasan M.Butterfly. - Foto ihsan produksi M.Butterfly
MEMILIH untuk mengupas naskhah M. Butterfly berbanding melakonkan kembali mengikut skrip, pengarah, Mislina Mustaffa menyerahkan keputusan kepada penonton untuk menilai.
Karya asal David Henry Hwang itu pernah dipentaskan di Euqene O’Neill Theatre, New York pada tahun 1988 hingga 1990 malah pernah difilemkan sebanyak tiga kali oleh pengarah yang berlainan.
Dalam pada itu, Mislina akui mengambil risiko ketika memilih ‘lecture performance’ untuk mementaskan M. Butterfly.
“Persembahan cara ini baru pada saya, saya tak pasti orang lain. Yang saya keluarkan adalah cerita di sebalik M. Butterfly. Saya fikir melalui ‘lecture performance’ mungkin yang terbaik.
“Jadi, ya. Saya memang mengambil risiko ketika membuat keputusan untuk mementaskan M. Butterfly dengan cara ini,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada sidang media, malam tadi.
Berhubung keputusannya untuk mengupas naskhah asal berbanding mengikut skrip asal, Mislina menjelaskan.
“Kerana sudah terlalu banyak naskhah M.Butterfly ini yang dipentaskan di seluruh dunia. Semua orang tahu cerita M. Butterfly macam mana. Jadi, kalau saya buat ikut skrip, ia akan sama juga.
“Kedua, karya ini juga adalah cerita yang agak kontroversi untuk negara kita kerana ia ada cinta dan hubungan sesama jenis,” katanya.
Berbeza dengan pengarah lain, Mislina tidak meletakkan sebarang harapan terhadap pementasan kali ini.
“Saya tidak mempunyai sebarang pengharapan daripada penonton. Ini adalah ruang kebebasan. Mereka bebas untuk menyukainya, membencinya dan bebas untuk menginterpretasikan persembahan itu. Sebab semua adalah betul, semua adalah salah.
“Saya tak harapkan penonton untuk setidaknya memahami apa yang saya nak tunjukkan. Persembahan ini banyak yang longgar dan kosong untuk memberi kita ruang untuk bernafas,” katanya.
Sementara itu, penerbitnya, Faisal Mustaffa menolak ketika dikatakan teater ini tidak sesuai ditonton untuk penonton di bawah umur.
“Kalau nak ikutkan konteks di Malaysia... tapi ini adalah pendidikan seks. Kami tidak menunjukkan satu adegan ranjang, melebihi had, dedah berlebihan... tak ada. Saya rasa pendidikan seks juga penting.
"Cuma, kalau dia kecil sangat, boleh ke dia faham setiap perkataan daripada persembahan ini? Orang dewasa juga sukar untuk memahaminya. Tak tau lah kalau budak kecil... mungkin akan rasa bosanlah. Tapi kita ada elemen seks itu sebagai sumbangan kami untuk pendidikan seks,” katanya.
Pada babak pertama, pementasan ini memperkenalkan watak utama, Rene Gallimard, yang merupakan seorang kakitangan awam bekerja di kedutaan Perancis di China.
Dia jatuh cinta dengan diva opera Cina cantik bernama Song Liling, yang sebenarnya seorang lelaki menyamar sebagai seorang wanita.
Mereka berada bersama untuk 20 tahun sehingga perkara sebenar dibongkar dan Gallimard dipenjarakan.
Bagi penonton yang kurang dekat dengan pementasan seperti ini mungkin dapat dibantu melalui babak di mahkamah yang mampu menjadi ‘tukang cerita’ terhadap cerita ini.
Pementasan M.Butterfly bakal berlangsung sehingga Ahad ini di Black Box, MapKL, Publika, Solaris Dutamas.
0 comments:
Post a Comment