Wednesday, April 3, 2013

Asmidar buang imej lama



Asmidar
Asmidar


Asmidar
Asmidar

Nama Asmidar mungkin masih kedengaran agak janggal dalam industri hiburan seni suara.

Biarpun lagu solonya, Biar Sampai Ke Bintang mendapat sambutan menggalakkan, namun populariti gadis berusia 27 tahun ini tidak bergerak seiring populariti lagunya.

Sedar persaingan yang semakin sengit, Asmidar tekad untuk bangkit dan membuat percaturan baru demi memastikan karier nyanyian tidak hilang dibawa arus.

“Sejujurnya lambat atau cepat naik tidak ada bezanya, tetapi yang penting adalah bakat yang mahu dibuktikan kepada umum.

"Saya rasa tidak ada guna saya cepat dikenali, tapi akhirnya tidak bertahan lama. Alhamdulillah, pengalaman sepanjang berada dalam pertandingan Vokal Bukan Sekadar Rupa banyak memberi perspektif baru dalam kehidupan untuk saya lakukan yang terbaik.

"Cabaran itu ada di mana, tetapi yang penting bagaimana untuk mengatasi kepayahan itu dan memperbaiki diri untuk ke depan. Saya tidak mengharapkan perjalanan lancar, tapi saya mengharapkan panduan itu tidak tersasar daripada landasan sekarang,” katanya kepada Zass.

Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad berkata, selain memperbaiki mutu vokal, dia juga membaiki imejnya agar kelihatan lebih yakin untuk bertemu peminat.

"Saya akui, apa awalnya memang saya tidak pandai bergaya dan sebagainya, namun selepas diberi nasihat dan tunjuk ajar dari pihak Warner Music, banyak bantu untuk perbaiki diri sendiri.

"Saya banyak bertanya dari orang-yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang ini, dari pada situ saya perbaiki diri sendiri," katanya


Kali Pertama jadi taruhan

Muncul dengan album pertama yang diberi judul Kali Pertama, Asmidar berkata, dia berharap kemunculan album ini akan menjadi platform buatnya untuk dikenali.

Album yang memuatkan tujuh lagu itu diistilahkan sebagai sebuah pengembaraan dan perjalanan daripada pengalaman yang kosong menjadi lebih erti.

"Pelbagai elemen yang dimuat turun dalam album ini dengan alunan lagu klasik, dengan imej yang berlainan sedikit sebanyak menampakkan ianya lebih menarik," katanya.

Berkongsi dengan lebih lanjut mengenai pembikinan album pertamanya ini, Asmidar berkata, dia bertuah kerana berpeluang menuntut ilmu daripada 'sifu' dalam bidang muzik.

“Semua pencipta lagu yang terlibat dengan album ini adalah orang-orang yang berpengalaman. Banyak input yang saya perolehi semasa merakamkan lagu di dalam album ini dan dari situ saya mula belajar untuk dapatkan ‘feel’ yang terbaik dalam sesebuah lagu," ujarnya.

Tujuh lagu yang terkandung dalam album ini adalah Biar Sampai Ke Bintang, Kali Pertama, Goldilocks, Sepasang Sudu, Bila Cinta Ada, Pesona Cinta dan Sepenggal Kasih.


Soal cinta

Menyentuh mengenai soal peribadinya pula, Asmidar berkata, dia kini masih lagi ‘single’ dan ingin fokuskan kepada kerjaya dalam bidang nyanyian terlebih dahulu.

“Saya ini seorang yang susah nak jatuh hati dengan seseorang. Kalau boleh sekarang ini saya nak fokus pada kerjaya dahulu,” katanya.

Ditanya mengenai lelaki idaman Asmidar, memberitahu, dia bukanlah seorang yang memilih, tapi biarlah seorang lelaki yang bertanggungjawab.

"Rupa paras tidak penting, yang penting, adalah hati dan menghormati kedua ibu bapa saya. Kalau boleh, biarlah dia seorang yang dapat membimbing diri saya dan boleh memberikan nasihat yang berguna," katanya.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails