Tengku Hanis
Kemeriahan industri hiburan tanah air kini dilihat semakin berkembang dengan kehadiran bakat baru yang tidak kurang hebatnya.
Bagaimanapun, tidak semua antara mereka mampu memperkenalkan bakat dalam masa singkat, sebaliknya untuk menempa nama dan mencuri ruang dalam arena ini, mereka terpaksa berdepan pelbagai cabaran.
Selain ilmu, pengamalan yang ditimba adalah aset dalam mengukuhkan nama sebagai anak seni.
Begitulah perjalanan pelakon tinggi lampai berusia 23 tahun ini, sejak awal melibatkan diri dalam bidang lakonan, dia sentiasa menyibukkan diri dengan menghadiri kelas-kelas lakonan teater.
Bagi Tengku Hanis, sebelum wajahnya terpampang di kaca televisyen menerusi pelbagai drama, dia sebenarnya pernah bergelar pengacara bagi sebuah program televisyen.
"Karier dalam bidang seni bermula sejak saya di bangku sekolah lagi dengan menjadi pengacara.
"Dalam pada masa sama, saya amat meminati bidang lakonan dan mula curi-curi masuk kelas teater.
"Ketika itu umur saya 16 tahun dan tanpa pengetahuan keluarga saya diam-diam mengikutinya kerana mereka tidak setuju saya melibatkan diri dalam bidang seni memandangkan belum pernah ada seorang pun dalam keluarga saya menjadi artis," katanya.
Jelas Tengku Hanis, dia bagaimanapun mula serius terhadap bidang lakonan drama sejak tiga tahun lalu dan bersyukur apabila keluarganya merestui minatnya itu.
"Alhamdulillah, akhirnya keluarga memberi kepercayaan dan bersetuju dengan minat saya dalam bidang ini. Kalau boleh, saya juga tidak mahu menghampakan mereka," katanya.
Cenderung watak antagonis
Sering ditawarkan memainkan watak antagonis, akui Tengku Hanis, dia tidak kisah malah sentiasa memandang positif terhadap perkara itu.
Bicaranya, sebagai pelakon, dia perlu menerima apa sahaja kritikan dan pandangan mengenai lakonannya lebih-lebih lagi ia penting dalam memberikan lakonan yang berkesan.
"Secara jujurnya, saya memang tidak kisah melakonkan watak antagonis, bagi saya pengalaman membawa watak ini sedikit sebanyak menguji kemampuan lakonan saya.
"Mungkin pengarah lebih tahu kemampuan saya. Jadi, saya tidak ada alasan untuk menolak tawaran seperti ini kerana ia juga memberi kebaikan kepada karier saya," jelasnya.
Ditanya sama ada dirinya tidak kisah dibenci penonton kerana sering membawa watak antagonis, Tengku Hanis memberitahu, respons seperti itu berlaku kerana lakonannya menjadi.
"Melakonkan watak antagonis memberikan kepuasan dan ia tidak sama menerusi watak lain yang dibawa, tetapi saya bukanlah jahat seperti watak-watak yang pernah saya bawa.
"Sementelah, saya masih baru dalam industri ini dan banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memantapkan lagi bakat lakonan," katanya.
Tidak gentar bersaing
Dalam pada itu, menyentuh mengenai persaingan yang wujud dalam industri hiburan hari ini, Tengku Hanis berkata, dia tidak akan tergugat dengan perkara itu, sebaliknya percaya bakatnya pasti diangkat suatu hari nanti.
"Sejak terlibat dalam industri ini, saya tidak pernah memikirkan persaingan yang ada sebagai penghalang untuk meneruskan impian menjadi pelakon yang berkualiti.
"Apa yang saya lihat, pelakon hari ini memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri, sebab itu saya percaya pada rezeki masing-masing," katanya mengakhiri perbualan.
Dalam perkembangan lain, Tengku Hanis bakal muncul dengan drama bersiri terbaru di slot Akasia berjudul Sedetik Cinta yang bakal ditayangkan mulai hari ini bergandingan dengan pelakonpelakon lain seperti Awal Ashaari, Hanez.
0 comments:
Post a Comment