Thursday, April 4, 2013

Tanpa diet ketat, Fouziah Gous tetap 'mantain'



Fouziah Gous
Fouziah Gous

Ke mana sahaja kakinya melangkah, pasti pelakon cantik berdarah kacukan Pakistan, Cina dan Melayu ini menjadi perhatian.

Menariknya, tidak perlu bersolek tebal, malah tanpa sebarang solekan pun, dia masih kelihatan menawan.

Mengakui bertuah dianugerahkan kecantikan semula jadi, pelakon berusia 31 tahun ini sebenarnya seorang yang sangat 'simple' dalam kehidupan.

Tidak memerlukan rutin berat atau terlalu serius terhadap penjagaan kulit wajah mahupun bentuk badannya, empunya nama Fouziah Gous memberitahu dia bagaimanapun tetap mengambil berat terhadap kesihatan dirinya.

Namun, menurut bintang filem Sifu & Tongga ini, dia memiliki cara tersendiri yang diamalkan sejak dahulu lagi.

Apa kata kita kongsi tip yang diamalkan bekas pramugari MAS ini.

Sejak awal penglibatan dalam bidang seni sehingga ke hari ini, anda masih kelihatan seperti dahulu. Malah jika diperhatikan anda tidak pernah mengalami masalah melibatkan berat badan.

Memang benar, saya tidak pernah mengalami masalah berat badan berlebihan, sejak dari dahulu berat saya 'mantain' antara 48 hingga ke 52 kilogram sahaja.

Adakah anda mengamalkan diet ketat untuk memastikan berat badan dapat dikawal?

Saya seorang yang suka makan. Saya sentiasa 'enjoy' dengan makanan dan akan makan apa sahaja yang saya inginkan. Cuma, apabila terasa sudah makan terlalu banyak, saya akan kurangkan pengambilan untuk yang seterusnya. Malah, saya tidak kisah untuk makan 'fast food' atau mengambil minuman bergas.

Jadi, bagaimana caranya anda memastikan berat badan dapat dikawal?

Alhamdulillah, mungkin sudah anugerah badan saya sukar hendak naik dan saya sebenarnya amat selesa dengan tubuh sebegini. Apa pun, saya juga seorang penggemar 'green tea', seperti yang kita tahu, 'green tea' amat baik untuk kesihatan.

Atau anda sebenarnya seorang yang konsisten dalam melakukan senaman?

Tidaklah terlalu konsisten, tetapi jika saya sedar sudah makan agak berlebihan saya senang melakukan apa-apa aktiviti yang mampu mengeluarkan peluh. Biasanya saya akan pergi ke gim jika kelapangan. Tetapi, dalam seminggu tidaklah terlalu kerap
sementelah lagi saya juga sibuk dengan penggambaran.

Beralih kepada penjagaan rambut, adakah anda mengamalkan sebarang petua kerana anda mempunyai rambut yang cantik dan sihat?

Sejak dahulu saya tiada masalah berkaitan rambut, sama seperti ibu saya. Namun saya amat menitikberatkan penjagaannya kerana rambut mahkota wanita dan sentiasa terdedah. Oleh itu, saya akan membersihkannya setiap hari. Yang penting syampu
yang digunakan tidak boleh yang ada perapi sekali. Saya mesti menggunakan syampu dan perapi dari botol yang berbeza, bukan '2in1'.

Bagaimana pula dari aspek penjagaan kulit wajah?

Saya memiliki kulit yang sensitif dan kering, adakala kulit saya begitu sensitif dan mudah naik jerawat. Jadi, saya sentiasa mementingkan penjagaan kulit sejak dulu lagi.

Saya tidak boleh mengenakan mekap terlalu tebal dan lama, jika lambat cuci pasti akan naik jerawat. Sebab itu saya lebih senang dengan solekan nipis sahaja. Apapun, saya tetap mengambil suplemen sebagai makanan tambahan.

Jika boleh kongsi, apa produk penjagaan wajah pilihan anda...

Secara jujurnya, biarlah saya rahsiakan produk yang digunakan, namun saya sebenarnya lebih senang menggunakan produk berasaskan ramuan tradisional sebab ia semula jadi, kurang kandungan bahan kimia dan bersesuaian dengan jenis kulit saya.

Anda seorang yang bijak bergaya, agaknya jika tidak ke mana-mana majlis, bagaimanakah penampilan anda?

Saya seorang yang sangat 'simple' lebih-lebih lagi jika sekadar hendak membeli-belah dan keluar bersama ibu, rasanya, saya selesa memakai kemeja dan 'legging' sahaja.

Agaknya apa lagi aktiviti anda jika tidak sibuk dengan penggambaran atau menghadiri mana-mana majlis?

Saya juga suka ke spa, selain dapat memanjakan tubuh, ia membuatkan saya lebih tenang.

Sedikit mengenai perkembangan terbaru anda...

Saya sekarang sedang sibuk dengan penggambaran dua drama, insya-ALLAH, jika tiada aral melintang, kedua-duanya akan bersiaran tidak lama lagi.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails