Saturday, May 4, 2013

Peralihan kuasa tidak jejas industri hiburan!



Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Ahmad Idham Ahmad Nadzri

PERBEZAAN fahaman politik antara penerbit popular, Norman Abd Halim dan beberapa rakan artis mendapat perhatian di kalangan penggiat seni tempatan.

Kurang selesa melihat percakaran itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Mohd Affendi Hamdan, akhirnya tampil menyuarakan pandangan agar perkara itu tidak menjadi 'sekam' antara pengamal seni.

Beliau turut berkata, peralihan kuasa mampu menggugat kedudukan Finas sebagai badan kerajaan yang memayungi golongan anak seni tempatan.

Namun, kenyataannya itu turut mendapat reaksi beberapa penggiat seni tanah air.

Ahmad Idham

"Siapa kita nak menentukan hala tuju industri? Saya bukan mahu bidas sesiapa kerana apa yang diperkatakan Pengerusi Finas itu, ada juga kebenarannya. Namun, sebagai pejuang dalam industri, kita tidak boleh terlalu mengharapkan kerajaan kerana kita perlu bekerja sendiri. Sebagai penggiat seni dan juga pernah bergelar Ahli Lembaga Finas, saya amat memahami situasi yang berlaku. Apa yang saya nampak, kenyataan itu terlalu berbaur politik. Saya sendiri tidak tahu bagaimana nak membayangkan situasi itu. Lagipun, pada saya, ada atau tiada Finas, ia tidak memberi apa-apa makna. Malah, kenyataan mengenai intensif itu sebenarnya tidak wajar dipersoalkan dan diungkit."

Datuk Dr Fazley Yaakob

"
Andai mana-mana kerajaan yang diberi mandat untuk memerintah, industri seni tidak akan dibiarkan terkubur begitu sahaja. Industri muzik dan filem adalah keperluan kepada seluruh masyarakat dan tanpa industri hiburan, kita akan kehilangan industri yang banyak membantu dalam memajukan negara. Saya tidak khuatir mengenai peralihan kuasa kerana setiap pemerintah akan mempertahankan industri ini mengikut cara tersendiri."

Jurey Latiff Rosli

"Siapa jua yang bakal memimpin negara, kita sebagai anak seni akan tetap memperjuangkan hak dalam industri. Jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti membubarkan mana-mana persatuan atau badan yang dipertanggungjawabkan sebelum ini, kami akan menuntut hak itu. Itu adalah janji saya sebagai Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) dalam memastikan industri seni akan terus maju dan berada di tahap yang lebih produktif."

Kamal Adli

"
Saya tak tahu nak cakap apa jika Finas lenyap dari industri kerana selama ini Finas menjadi badan yang banyak membantu kami sebagai anak seni. Saya tidak mencampuri urusan politik, namun jika berlaku peralihan kuasa, saya berharap agar Finas dan industri seni tidak diabaikan atau lenyap begitu sahaja. Siapa akan bantu kami jika Finas tiada?"

Attilia

"Saya bukan mahu menyelar tindakan Pengerusi Finas, namun lebih baik dia berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap. Apa yang saya lihat, ia hanyalah pandangan dari sudut peribadi dan tidak mewakili seluruh isi hati penggiat seni tempatan. Saya memang tidak terlibat dalam politik dan saya tidak rasa perkara itu boleh menggugat industri yang telah lama bertapak ini. Soal kerja dan rezeki, ia terletak di tangan ALLAH SWT. Melihat kepada kenyataan itu, ia sudah berbaur politik dan kepentingan peribadi. Selain itu, saya menyelar tindakan golongan politik yang menggunakan artis sebagai orang tengah dalam mencapai matlamat politik mereka."

Sharnaaz Ahmad

"
Jika difikirkan secara mendalam, tiada kejahatan dalam mana-mana parti baik kerajaan mahupun pembangkang. Saya tidak rasa situasi itu akan berlaku kerana negara kita adalah negara demokrasi dan sebagai rakyat, kita mempunyai hak untuk bersuara. Jika berlaku peralihan kuasa, tidak semestinya segalanya akan mengalami perubahan. Mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara tanpa mengambil pandangan rakyat. Sekiranya rakyat tidak setuju, mereka tidak boleh lakukan sesuka hati dengan merubah itu dan ini."


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails