Diana Amir Elak Selalu Keluar Dating
Pada bulan September depan, genaplah setahun pelakon Diana Amir mengikat tali pertunangan dengan pensyarah UiTM, Mohd Habib Bullah A.Rahman. Dan diikutkan pada perjanjian, pasangan ini akan bernikah setelah usia pertunangan mereka cukup setahun.
Bertemu Diana di majlis berbuka puasa MIG Bersama Media di Restoran Shogun, Sunway, malam tadi, sempat juga ditanyakan kepada gadis manis ini tentang persiapan majlis pernikahannya nanti.
“Kursus kahwin pun saya belum pergi. Sibuk sangat sampai saya terlupa nak pergi,” jawabnya sambil tergelak kecil.
Jelasnya, memang kalau mengikut perancangan sewaktu bertunang, dia akan bernikah dalam masa terdekat ini. Tetapi buat masa ini kata Diana, tarikh sebenar hari bersejarahnya itu belum dapat diputuskan lagi.
“Setakat ini kami tiada tarikh lagi. InsyaAllah kalau ada jodoh tak ke mana. Saya pun dah sedia untuk menjadi isteri. Target memang dalam tahun ni. InsyaAllah selepas raya. Tapi soal harinya bila, saya serah pada tunang saya dan keluarganya. Saya hanya tinggal tunggu keputusan dari dia saja ni.
Bagaimanapun kata Diana, dia tidak mendesak tunang dan keluarga pihak lelaki kerana memahami yang tunangnya kini sangat sibuk menguruskan banyak hal. Difahamkan Habib sedang menyambung pengajian peringkat Master di Universiti Sain Malaysia (USM). Selain itu, Habib turut memabntu menguruskan perniagaan yang dijalankan Diana.
“Sebenarnya dia sekarang tengah buat master di USM. Sambil tu dia sibuk uruskan perniagaan-perniagaan saya. Kira dia dah macam PA saya dah sekarang. Jadi dia sibuk dengan semua tu dan saya pula sibuk dengan usrah dan latihan motivasi.
“Saya ada jalankan perniagaan tudung iaitu koleksi Emel. Koleksi ni saya bekerjasama dengan pereka fesyen Melinda Looi. Selain tu saya ada juga jual baju kasual dan baru dua minggu lalu saya buku pertama saya, Titian Mahabbah berada di pasaran. Buku ni saya tulis bersama penulis Ibnu Rijal.
“Memang keluarga saya pun dah mula bertanya-tanya pada kami. Tapi Alhamdulillah, bapa saya seorang pendidik dan tunang saya pun seorang pendidik, jadi bapa saya faham situasi tunang saya sekarang. Tunang saya ada bagitahu saya yang dia perancangan dia sendiri tentang bila pernikahan kami dan saya percaya dia tahu apa yang dia nak buat. Jadi saya hanya tunggu sajalah”, tuturnya lagi.
Dalam pada itu Diana tidak menafikan dalam tempoh pertunangan seperti mana pasangan lain, mereka turut berdepan dengan dugaan. Namun setiap dugaan yang datang itu dapat ditempuhi. Paling utama mereka berdua sentiasa menjaga batasan dan masing-masing saling cuba memahami antara satu sama lain.
“Dugaan paling besar adalah kami kena saling faham memahami antara satu sama lain. Keluarga dia banyak berpesan pada saya, kalau pun kami ada selisih faham, kami perlu banyak sabar. Kami kena jaga batas agama. Kami tak boleh nak rapat sangat.
“Jadi kami selalu elakkan perbualan yang akan menimbulkan pergaduhan. Selalu elak keluar dating. Ala, dah nak kahwin pun… Tapi kalau jumpa pun sebab hal kerja”, katanya.
Perkembangan lain, Diana berkata dia masih menantikan skrip yang sesuai untuk kembali aktif semula dengan dunia lakonan.
0 comments:
Post a Comment