Sunday, April 18, 2010

Ibu hamil dibunuh..KEJAMnye

KUALA LUMPUR: Seorang ibu yang mengandung dibunuh dan dipijak sehingga janinnya berusia 12 minggu terkeluar dalam kejadian di kawasan rekreasi Taman Tasik Perdana, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman, berkata berdasarkan maklumat, mangsa dijerut dengan sapu tangan yang dipintal dan dimasukkan kayu.


“Polis turut menemui kesan pijak pada perut mangsa dan mungkin ini menyebabkan janin berkenaan terkeluar,” katanya.


Menurut beliau, mangsa dipercayai wanita berbangsa India melalui manik subang yang ditemui terlekat di kolar bajunya.


Katanya, mangsa berusia lingkungan 30-an dan dipercayai mati antara lima hingga enam hari lalu berdasarkan keadaannya yang berulat.

“Dia memakai jam jenama Omega dan bajunya pula sudah reput. Fizikalnya berambut ikal serta panjang. Selain itu, polis menemui topi keledar bersebelahan mayat.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya selepas merasmikan Program Kempen Derma Darah Peringkat Polis Kuala Lumpur Sempena Peringatan Hari Polis ke-203, di sini, semalam.


Untuk pengecaman, individu berkaitan diminta ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Dalam kes berasingan, Muhammad Sabtu mengatakan, dua penjenayah ditahan selepas gagal dalam cubaan menyamun seorang lelaki warga Indonesia di Jalan Hishamuddin, di sini.


Menurut beliau, kedua-dua penjenayah terbabit ditahan MPV polis sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian.


“Mangsa cedera di perut selepas ditikam penjenayah dalam cubaan itu. Seorang penjenayah pula patah kaki selepas terjatuh ke dalam parit ketika cuba melarikan diri.


“Penjenayah ketiga pula meloloskan diri dan kini diburu. Polis menemui senjata tajam di tempat kejadian dipercayai digunakan suspek. Mangsa dirawat di HKL dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Berkaitan kes pelakon, Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 32, yang memfailkan writ permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi, 8 April lalu, Muhammad Sabtu mengatakan, biar undang-undang menentukan keputusan berkenaan.


“Polis akan membiarkan undang-undang menentukan perkara berkenaan dan selepas itu baru kita boleh mengeluarkan kenyataan. Buat masa sekarang, biar ia ditentukan oleh mahkamah,” katanya.


Melalui permohonan itu, Benjy selaku pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden. Ia difailkan menerusi peguamnya, Amer Hamzah Arshad.

3 comments:

Ansof86 said... [Reply to comment]

ya Allah memang kekejaman manusia yang melampau

imabiz said... [Reply to comment]

kejam betulla. ape nak jadi skrg nie.. dunia dah tak selamat dah..

Haffiz Al-Banna said... [Reply to comment]

uisyh..serius kejam dowh..

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails