Thursday, June 17, 2010

Artis Popular Meriahkan 'Kata Kau'!



Setelah beberapa program bercorak permainan dan kuiz berjaya meraih perhatian dan mendapat tempat di hati penonton, Astro sekali lagi membawakan sebuah program bercorak permainan kuiz berunsurkan muzik iaitu 'Kata Kau' yang mula bersiaran setiap hari Sabtu, bermula 19 Jun, jam 10 malam.

Buat pertama kalinya, rancangan ini dihoskan oleh pengacara hebat Reza Mohammad dan digandingkan bersama pelakon serta model terkenal, Scha Al Yahya.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, sebagai sebuah saluran yang memaparkan hiburan berterusan, pihaknya tidak mahu terlepas pandang dalam menerbitkan program hiburan bercorak kuiz permainan yang ringkas dan sesuai ditonton oleh semua golongan lapisan penonton.

"'Kata Kau' merupakan satu lagi pertaruhan kami dalam memastikan para penonton setia di saluran ini terus dihiburkan dengan pelbagai jenis genre program.

"Pemilihan Reza dan Scha selaku pasangan pengacara dilihat amat sesuai dan bertepatan dengan konsep program yang mahukan pendekatan segar dan bersahaja," katanya yang yakin gandingan mereka berdua mampu menarik perhatian penonton.

Program itu juga menampilkan selebriti terkenal tanah air bersama penonton yang bertuah. Mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan berentap untuk menjawab pelbagai soalan yang akan dikemukakan.

Program 30 minit itu memaparkan 26 episod termasuk sebuah episod khas Raya dan sebuah episod khas Merdeka. Antara barisan artis yang turut memeriahkan program 'Kata Kau' ialah Pop Shuvit, Meet Uncle Hussain, Saida, Saerah, Zed Zaidi, Adam AF, Hafiz, Mila, Tomok, Black, Fiz Fairuz, Julia Ziegler, Ainul Aishah, Marsha, Anding, Dafi, Edleen, Sherry Ibrahim dan Zizan.

Pada setiap episod, sebanyak lima jenis permainan akan dimainkan secara rawak. Menariknya juga kuiz ini ialah apabila ia akan mengenakan ‘hukuman’ kepada setiap kumpulan yang kalah.

Di antara cabaran yang menanti peserta ialah meneka tajuk lagu melalui permainan 'Ringtone Rentong', meneka bahagian korus lagu rock Melayu dalam permainan 'Bapak Kapak' dan meneka lukisan karikatur penyanyi dan pelakon tanahair melalui 'Siapa Pulak Ni..?'

Sementara itu, permainan 'Ikut Suka Kau!' akan menampilkan Salleh Yaakob sebagai Abang Jam yang akan menyanyikan lagu-lagu Melayu versi Inggeris dan lagu-lagu Inggeris versi Melayu. Peserta hanya perlu meneka tajuk lagu dan markah akan diberikan pada setiap jawapan yang betul.

Selain itu, terdapat banyak lagi permainan yang akan dimainkan secara rawak seperti 'Masihkah Kau Ingat?', 'Video Songsang Baa..', 'CD Rongak', 'Ribut Petir Kebabom', 'Studio Berdengung' dan 'Joget Spontan' yang menjanjikan kelainan dan gelak ketawa bagi penonton 'Kata Kau'.


pssstttt : scha cun giler ahhhh ;p

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails