Saturday, October 22, 2011

Ajal makan malam terakhir


Tiga sekeluarga yang sedang menikmati makan malam mati dibunuh sekumpulan tiga penjenayah yang menceroboh rumah mereka di Engkilo, Jalan Chew Khun, di sini malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu turut menyebabkan seorang lagi ahli keluarga berkenaan parah ditikam di perut.
Tiong Tang Ming, 69, bersama anak lelakinya, Tiong King, 35, dan menantu, Teu Lee Mee, 32, mati serta-merta, manakala isteri Tang Ming, Peh Kim Eng, 50, kini dirawat di Hospital Sibu (HS). Mayat tiga mangsa berkenaan turut ditempatkan di rumah mayat HS.

Tiga perompak berusia antara 30 hingga 40 tahun terbabit dikatakan muncul tiba-tiba di rumah keluarga berkenaan yang terletak dalam kawasan kebun dan kemudian berpura-pura meminta kerja tetapi tidak dihiraukan.



Suspek terus masuk ke dalam rumah tetapi cuba dihalang empat mangsa itu yang kemudian ditikam sebelum Kim Eng berpura-pura mati dan menghubungi polis selepas penjenayah melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata kejadian bermotifkan rompakan berdasarkan keadaan rumah dan barang berharga milik semua mangsa yang hilang.
“Kedudukan rumah itu di kawasan terpencil menyebabkan ia menjadi sasaran kumpulan perompak. Siasatan awal mendapati barang berharga termasuk wang dan barang kemas dipercayai dilarikan suspek. Polis masih menunggu mangsa yang terselamat itu stabil bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, dua lelaki Indonesia dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan kejam itu berjaya ditahan polis jam 2.40 petang semalam ketika menunggang motosikal di Jalan Teku-Pasai Siong sebelum pemeriksaan lanjut menemui telefon bimbit milik seorang mangsa dalam simpanan mereka.

Polis juga menemui wang tunai RM3,715 dan pisau pemotong daging bersama dua lelaki itu dan kini berusaha mengesan seorang lagi suspek dianggap berbahaya yang diyakini masih bersembunyi di kawasan berdekatan bandar ini. Kedua-dua suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails