Friday, November 25, 2011

Cerita jerung Harith Iskander



Pengacara dan pelawak terkenal Harith Iskander Musa atau dikenali sebagai Harith Iskander mengakui dia begitu takut kepada jerung dan tidak berani mandi manda di pantai sehingga usianya remaja.

Namun begitu, kata Harith dia sangat berminat untuk mengenali dan mendekati haiwan itu.

Ternyata minatnya terhadap jerung menjadi titik tolak kepada pelantikan sebagai Ketua Pegawai Ikan Jerung (CSO) Asia Tenggara sempena Minggu Ikan Jerung, di saluran Discovery Channel (Astro 551), baru-baru ini.

Minggu Ikan Jerung adalah usaha tahunan Discovery Channel dalam menerapkan kesedaran kepada penonton mengenai proses pemuliharaan ikan jerung.

Tujuh dokumentari ditayangkan sepanjang minggu ini bermula 21 November lalu sehingga 27 November ini pukul 10 malam.

Tujuh dokumentari itu adalah Jaws Comes Home: Return of the Great Whites, Summer of the Shark 2, Rogue Sharks, How Sharks Hunt, Great White Appetite, Great White Invasion dan Killer Sharks: The Attacks of Black December.

Menurut Harith, ia merupakan kali pertama Discovery Channel Asia melantik seorang CSO bagi rantau ini.

"Discovery Channel di Amerika Syarikat telah melantik CSO sejak 2004, dan tahun ini jawatan itu disandang bintang rancangan komedi spontan, Saturday Night Live, Andy Samberg.

"Sebagai CSO, tugas Harith termasuk muncul dalam beberapa trailer promosi dan iklan menjelang Minggu Ikan Jerung," jelasnya kepada Kosmo! selepas sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biarpun teruja, kata Harith, dia rasa agak gementar memandangkan ini kali pertama Discovery Channel Asia menggunakan konsep CSO ini.

Katanya, dia akan cuba menambahkan unsur-unsur lawak dalam skrip yang diberikan agar penonton terhibur.

"Ia merupakan pengiktirafan dalam karier saya kerana program ini akan disiarkan menerusi saluran Discovery Channel dan bakal ditonton di Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, Kemboja, Myanmar dan Vietnam.

"Secara tidak langsung ia memberi peluang kepada saya untuk dikenali di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Dalam pada itu figura ini menegaskan dia kini sibuk dengan beberapa projek lain.

Ujar Harith, dia baru sahaja menyiapkan skrip filem dan beberapa naskhah muzikal seperti Lat Budak Kampung the Musical, yang bakal dipentaskan tahun depan.

Berita gembira juga buat Harith apabila dia bakal menjadi bapa buat kali pertama tahun hadapan.

"Isteri saya sudah hamil dan saya bakal bergelar bapa pada tahun 2012 nanti," ujarnya

Menurut Harith lagi, isterinya sangat suka dengan nama Iskander dan berharap untuk menurunkannya kepada anak mereka nanti.

"Isteri saya suka sangat dengan nama Iskander, dan dia begitu berharap mahu meletakkan nama itu kepada bakal anak kami itu," ujarnya dalam senyuman.

Harith,45, mengahwini doktor dan model sambilan, Jezamine Lim, 28, pada Jun tahun lepas.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails